KERUSI panas Parlimen Gombak bakal menyaksikan saingan sengit antara lima calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Terdahulu, suasana di sekitar pusat penamaan calon di Parlimen Gombak riuh dengan sorakan penyokong yang sudah membanjiri kawasan tersebut sejak pukul 6 pagi lagi.
Sesi penamaan calon ini juga menyaksikan pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA yang sepatutnya bertanding memilih untuk menarik diri selepas mimpi bertemu arwah ibunya.
Difahamkan, beliau merupakan calon pertama yang tiba di kawasan penamaan calon seawal 6 pagi namun menimbulkan tanda tanya selepas tidak muncul untuk menghantar borang pencalonan.
Bagaimanapun, lima calon yang telah disahkan akan bertanding melibatkan penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali.
Empat pencabar lain termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (Pakatan Harapan); Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional); Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Putra) dan seorang calon Bebas, Zulkifli Ahmad akan memberi saingan dalam pilihan raya kali ini.
Datuk Seri Azmin Ali ketika ditemui Majoriti meluahkan keyakinan untuk mempertahankan Parlimen Gombak walaupun berdepan dua calon heavyweight yang juga rakan lamanya.
"Saya akan berdepan dua rakan lama iaitu Amirudin Shari dan Megat Zulkarnain Omardin namun saya percaya mampu mempertahankan kerusi Parlimen Gombak.
"Pertembungan ini juga bukan soal personaliti atau parti, sebaliknya lebih fokus untuk mempertahankan mandat rakyat," katanya.
Azmin juga memberi gambaran bahawa rakyat kini sudah serik dan menolak PH apabila pakatan itu kalah teruk dengan majoriti lebih 15,000 undi pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada 2019 yang disifatkan sebagai kawasan kubu kuat DAP.
"Tetapi apabila MCA bertanding situ dengan sokongan Pas ketika DAP cuba memainkan sentimen perkauman bahawa kononnya Pas adalah parti Taliban yang menyokong MCA, MCA tetap menang.
"Menang dengan majoriti 15,000. Ini bermakna rakyat Malaysia menolak PH.
"Maka saya sebagai jemaah Menteri yang melihat sendiri penggubalan dasar yang tidak adil kepada rakyat, sudah tentu saya tidak senang," ujarnya.
Mengulas mengenai PN, Azmin berkata kerajaaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berusaha sedaya upaya untuk menangani penularan pandemik dan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram