Hafizah 30 juzuk al-Quran antara calon YB jelita hiasi PRU15


  • Politik
  • Ahad, 06 Nov 2022

Cleopatra (tengah) hadir ketika Hari Penamaan Calon PRU15 pada Sabtu.

PILIHAN RAYA umum lazimnya diwarnai dengan penampilan muka baharu dalam kalangan wanita muda yang jelita sebagai calon.

Calon wanita bukan sahaja diketengahkan sebagai penyeri di sebalik kehangatan pilihan raya, malah menjadi taruhan parti-parti politik bagi menarik perhatian pengundi.

Namun, rata-ratanya tidak hanya mengharapkan paras rupa, malah mereka ternyata memiliki kelebihan tersendiri sama ada dalam bidang pendidikan atau kerjaya masing-masing.

Tidak dinafikan, wajah jelita antara ciri-ciri yang membolehkan seseorang itu menjadi calon ‘winnable’ dan ‘likeable'.

Berikut lima calon wanita yang memiliki raut wajah menawan dan menarik perhatian pengundi.

1) Cleopatra

file7nhc3rn9hns13h9xlosd

Cleopatra

Pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra antara calon tercantik bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Difahamkan, beliau adalah seorang ibu tunggal berdarah Cina dan Belanda. Jadi, tidak hairanlah darah kacukan itu menjadikan rupa jelitanya seakan-akan dilihat seperti anak patung.

Pada PRU15, Cleopatra bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Batu menerusi tiket Bebas.

Antara pencabarnya adalah penyandang Parlimen itu, P. Prabakaran (PH); peguam, Siti Kasim (Bebas); Tian Chua (Bebas), Datuk A. Kohilan Pillay (BN), Azhar Yahya (PN), P. Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (Bebas), Zulkifli Abd Fatah (Parti Rakyat Malaysia – PRM) dan Wan Azliana Wan Adnan (GTA).

2) Nurul Fadzilah Kamaluddin

WhatsApp-Image-2022-11-02-at-13.02.55

Nurul Fadzilah (tudung merah jambu) merupakan pensyarah sambilan di UIA. — Suara Merdeka

Sebelum membuat keputusan untuk menerjah masuk ke dunia politik, Nurul Fadzilah pernah bertugas sebagai pengacara dan aktivis masyarakat.

Nurul Fadzilah, 33, merupakan seorang peguam dan cemerlang dalam pendidikan dari zaman persekolahan hinggalah ke universiti.

Beliau bukan sahaja mempunyai rupa paras cantik, tetapi difahamkan beliau juga merupakan pensyarah sambilan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Lebih menarik lagi, wakil Srikandi Muda Bersatu Malaysia dan bertanding kerusi Parlimen Setiawangsa menerusi tiket Perikatan Nasional (PN) ini adalah seorang hafazah yang menghafal 30 juzuk al-Quran.

Beliau akan bersaing dengan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR); Izuddin Ishak (BN); Bibi Sunita Sakandar Khan (Pejuang); Mejar Mior Rosli Tudm (Bebas); Stanley Lim Yen Tiong (Bebas).

3) Jo-Anna Sue Henly Rampas

Screenshot 2022-11-06 001125

Jo-Anna

Jo-Anna merupakan antara calon Sabah tercantik pada PRU15, yang memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan).

Pada PRU15, beliau akan bertanding dalam Parlimen Tuaran.

Kerusi Parlimen Tuaran menyaksikan persaingan enam penjuru antara calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS); Pakatan Harapan, Parti Warisan, Pejuang dan dua calon Bebas.

Selain Jo-Anna, pertembungan tersebut melibatkan Datuk Joniston Bangkuai (GRS), Datuk Wilfred Madius Tangau (PH), Muminin Kalingkong (Pejuang), Nortaip Suhaili (Bebas), dan Boby Lewat (Bebas).

4) Young Syefura Othman

file7nhgfejw6ux15y9isosd

Young Syefura

Sebelum menceburi bidang politik, Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara pernah bekerja sebagai jururawat peribadi selama setahun.

Selepas menamatkan kerjaya sebagai jururawat, Rara yang berusia 33 tahun pernah membuka sebuah klinik persendirian di Puncak Alam, Selangor.

Beliau mula menceburi politik dengan menyertai DAP dan pada masa sama, memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Kebangsaan Wanita parti itu.

Pada PRU15, beliau bakal bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Bentong menerusi tiket PH.

Antara pencabarnya adalah penyandang kerusi Parlimen itu, Wong Tack (Bebas); Tan Sri Liow Tiong Lai (BN), Datuk Roslan Hassan (PN) dan Achik Khalil (Bebas).

5. Dr. Nurul Ashikin Mabahwi

7e4d72b6-35f0-4f57-94bd-9c7d79303357

Nurul Ashikin

Parlimen Ampang menyaksikan persaingan sengit dengan pertembungan sembilan penjuru pada PRU15.

Penyandangnya, Datuk Zuraidah Kamaruddin antara lain dicabar Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr. Rodziah Ismail serta Nurul Ashikin yang mahu menyumbang kepakarannya dalam bidang perancang bandar dan bencana alam untuk mengatasi masalah banjir dan tanah runtuh di Ampang.

Pemegang Ijazah Kedoktoran Sistem Persekitaran Wilayah di Institusi Teknologi Shibura, Jepun mendalami pengurusan bencana alam di 'Laboratory of Planning and Regional Resilience' selain menulis kajian bagaimana perancangan bandar mempengaruhi kualiti udara di jurnalnya.

Turut bersaing di kerusi sama pada PRU15 adalah Ivone Low Yi Wen (BN) dan Sasha Lyna Abdul Latif mewakili (PN).

Empat lagi calon ialah Bryan Lai Wai Chong (Parti Warisan), Raveendra Marnokaran (Bebas), Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos (Bebas) dan Tan Hua Meng (Bebas) serta Zuraida.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram