Ku Li, Khalid Yunus antara 10 pemimpin era Tun M bertanding PRU15


  • Politik
  • Ahad, 06 Nov 2022

Mahathir turut bertanding dengan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15. — Bernama

SELEPAS pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober lalu, mandat untuk memilih kerajaan sekali lagi dikembalikan ke tangan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November depan.

Sekurang-kurangnya lima gabungan politik bakal merebut 222 kerusi Parlimen, seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Antara koalisi politik yang bertanding pada PRU15 ialah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pakatan Harapan (PH).

Calon-calon yang diketengahkan pada PRU kali ini menyaksikan gandingan muka lama dan baharu yang masing-masing memiliki kelebihan sendiri dari segi pengalaman berbakti kepada rakyat dan kesegaran idea untuk dicurahkan kepada negara.

Apa yang menarik perhatian adalah beberapa nama besar pada era pentadbiran pertama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menjadi calon pada PRU15.

Dr Mahathir menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun. Perdana Menteri keempat itu mengetuai BN mencapai kejayaan pada PRU 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Seterusnya pada usia 93 tahun, beliau dipilih sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas gabungan politik pembangkang yang dipimpinnya, Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 pada 2018.

Berikut 10 calon heavyweight era pentadbiran Mahathir yang bertanding pada pilihan raya kali ini.

GUA MUSANG, 5 Nov -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen P032 Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (tengah) bersama para penyokong hadir di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Tanah Dan Jajahan Gua Musang sempena penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 hari ini.Pencalonan itu menjadikan Tengku Razaleigh atau Ku Li akan bertanding buat kali ke-13 sepanjang pilihan raya umum yang telah diadakan di negara ini.Pada PRU15 kali ini, beliau akan berentap dalam pertandingan empat penjuru dengan menentang calon Gerakan Tanah Air, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat, Datuk Mohd. Azizi Naim (Perikatan Nasional) dan Asharun Uji (Pakatan Harapan).-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

1) Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah

Tengku Razaleigh atau Ku Li mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU15 kali ini.

Pencalonan itu menjadikan ia pertandingan kali ke-13 buat pemimpin berusia 85 tahun itu sepanjang pilihan raya umum yang telah diadakan di negara ini.

Pada PRU15, beliau akan berentap dalam pertandingan empat penjuru dengan menentang calon GTA, Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat, Datuk Mohd. Azizi Naim (PN) dan Asharun Uji (PH).

Ku Li menang tanpa bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang yang ketika dahulu dikenali sebagai Ulu Kelantan pada tahun 1974.

Beliau merupakan calon wakil rakyat paling lama dalam BN selain turut memegang rekod paling lama sebagai Ahli Parlimen selama 12 penggal.

Dalam Kabinet pertama Mahathir yang dibentuk pada 1981, Ku Li dilantik sebagai Menteri Kewangan dan kekal di portfolio itu dalam Kabinet kedua berikutan pilihan raya 1982.

Pembentukan Kabinet ketiga Mahathir pada 1986, Ku Li bertukar portfolio sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

2) Tan Sri Muhyiddin Yassin

Pengerusi Perikatan Nasional itu mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang disandang selama enam penggal.

Bagi PRU kali ini, Presiden Bersatu itu dicabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Razali Ibrahim yang mewakili BN dan Iskandar Shah bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin berusia 75 tahun itu menjadi penyandang Parlimen Pagoh sejak 1978 yang dimenangi atas tiket BN ketika itu.

Muhyiddin dilantik menyertai Kabinet kedua Mahathir sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang selama dua penggal dari 1986 hingga 1995.

Muhyiddin kembali ke politik persekutuan pada 1995 dan dilantik ke Kabinet Mahathir sebagai Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Beliau juga dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia selepas PRU 1999.

314064966_699202054894698_1871954962651888662_n

3) Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pemimpin nombor satu Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan nama asing dalam era Mahathir. Bahkan beliau merupakan 'anak didik' Dr Mahathir di awal kerjaya politiknya.

Anwar terjun ke dunia politik dan bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh atas tiket Umno pada 1982 dan menang dengan majoriti besar.

Beliau pertama kali dilantik dalam Kabinet Dr Mahathir sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun sama.

Dalam Kabinet ketiga (1986) Anwar memegang jawatan Menteri Pendidikan sebelum dilantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam Kabinet keempat (1990). Beliau turut menyandang jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada tahun sama.

Ketika pembentukan Kabinet Mahathir kelima (1995), Anwar terus diberi kepercayaan menjawat jawatan TPM selain diberikan portfolio Menteri Kewangan.

Pengerusi PH itu melalui fasa jatuh bangun dalam politik yang menyaksikan dirinya pernah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun pada 1999 kerana didapati bersalah atas kesalahan penyalahgunaan kuasa sebelum dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada 10 Februari 2015, Anwar dipenjarakan buat kali kedua di Penjara Sungai Buloh, Selangor atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Anwar dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2018 dan kembali aktif dalam politik apabila bertanding kerusi Port Dickson pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson 2018.

Beliau menang selesa dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon PAS, Lt Kol (B) Haji Nazari Mokhtar dan lima orang calon bebas iaitu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Lau Seck Yan, Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen.

Bagi PRU15, Anwar yang bertanding Parlimen Tambun dicabar tiga calon lain iaitu Aminuddin Md Hanafiah (BN); Abdul Rahim Tahir (Pejuang) dan penyandang kerusi itu Ahmad Faizal Azumu (PN).

313263349_669086024580383_7423819414755913796_n

4) Datuk Seri Shafie Apdal

Presiden Parti Warisan (Warisan), itu mempertahan kerusinya di Semporna yang disandang sejak menyertai kancah politik pada 1995.

Beliau akan berdepan pertandingan empat penjuru dengan calon daripada Pakatan Harapan (PH) Arastam Pandorog, Nixon Abdul Habi (GRS) dan Ab Razik @ Ab Rajak Ab Hamid (GTA-Pejuang).

Shafie antara pemimpin era Mahathir yang menyaksikan beliau pertama kali dilantik dalam Kabinet sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Dari tahun 1999 hingga 2004, beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan.

313423401_677871123708015_3274099883428183665_n

5) Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Sebagai salah seorang calon heavyweight BN, Hishammuddin bakal merebut semula kerusi Parlimen Sembrong yang dimenanginya pada PRU14.

Penyandang kerusi Parlimen Sembrong sejak 2004 itu bakal berdepan calon PN, Aziz Ismail dan calon PH, Hasni Abas.

Hishamuddin sebelum ini pernah bertanding di Parlimen Tenggara bagi tahun PRU9 (1995) dan (PRU10) 1999.

Susulan kemenangan itu, Hishammudin menyertai kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Dr Mahathir sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Perusahaan Utama. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan dari 1999 hingga 2004.

194200_104873476261127_4955106_o

6) Tan Sri Mohd. Khalid Yunus

Ahli politik yang sudah sekian lama menyepi ini mencipta kejutan selepas kembali membuat penampilan pada PRU15.

Bekas Ahli Parlimen Jempol selama empat penggal itu terpanggil untuk bertanding semula, selepas berundur daripada arena politik, kerana melihatkan kemelut yang melanda negara, termasuk membabitkan kawasannya.

Ketika era Mahathir, beliau merupakan antara pemimpin yang mendapat kepercayaan bekas Perdana Menteri itu.

Mohd Khalid pernah menjadi timbalan menteri di empat kementerian dari 1986 hingga 2003 ketika Mahathir menyandang tampuk pimpinan nombor satu negara.

Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Timbalan Menteri Pelajaran, Timbalan Menteri Penerangan dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan.

Walaupun menjadi calon paling berusia, Timbalan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berusia 79 tahun itu yakin mampu memberi saingan sengit pada parti lawan.

PUTRAJAYA, 5 Nov -- Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) menyantuni penyokong-penyokongnya selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen P125 Putrajaya sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Presint 9 hari ini.Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya Tengku Adnan berdepan saingan sengit untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.Buat kali pertama sejak kerusi itu dipertandingkan pada 2004, Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan dua calon bebas.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

7) Tengku Adnan Tengku Mansor

Bertanding di Parlimen Putrajaya sejak 2004, Tengku Adnan atau Ku Nan akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya kali ini.

Parlimen Putrajaya bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru daripada Perikatan Nasional (PN) Datuk Dr. Radzi Jidin, Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Mohd Rosli Ramli mewakili Pejuang.

Turut bertanding menentang bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu ialah dua calon bebas, Samsudin Mohd Fauzi dan Lim Fice Bee.

Ku Nan dilantik dalam Kabinet keenam Mahathir (1999) sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR, 5 Nov -- Calon Warisan bagi Parlimen P100 Pandan Tan Sri Ong Tee Keat ketika hadir ke Pusat Penamaan Calon di Dewan MPAJ Pandan Indah hari ini.-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

8) Tan Sri Ong Tee Keat

Bekas Presiden MCA itu menjadi tumpuan selepas namanya diumumkan antara calon Parti Warisan (Warisan) yang bakal bertanding merebut 26 kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung pada PRU.

Tee Keat akan cuba menawan kembali kerusi Parlimen Pandan yang pernah disandangnya selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 ketika mewakili BN, selepas berkhidmat selama empat penggal dari 1989 sebagai Ahli Parlimen Ampang Jaya.

Bekas Menteri Pengangkutan itu akan menghadapi persaingan lima penjuru berdepan calon heavyweight, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Tiga calon lain yang bertanding di kerusi itu ialah Ketua MCA Pandan, Datuk Leong Kok Wee (BN); Ketua Pemuda PAS Pandan, Muhammad Farique Zubir Albakri (PN) dan Nadia Hanafiah (GTA).

Rafizi pernah mennyandang kerusi itu selama sepenggal selepas memenanginya pada PRU13.

Pada PRU14 lalu, kerusi tersebut disandang oleh bekas Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Sebagai rekod, Tee Keat pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam Kabinet keenam Mahathir.

314046736_668229138005087_1254943016934426558_n

9) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Calon BN yang Naib Presiden Umno itu akan berdepan saingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Kota Tinggi pada PRU15.

Beliau mengalami kekalahan mengejut di Parlimen Pasir Gudang kepada calon Pakatan Harapan (PH), Hassan Karim pada PRU14 dengan majoriti 24,726 undi selain turut tewas di kerusi DUN Permas.

Bekas Menteri Besar Johor itu menyertai politik pada tahun 1990 ketika berusia 31 tahun. Beliau mencipta kejutan di kerusi Parlimen Johor Bahru selepas memenangi dengan majoriti 8,166.

Di bawah pentadbiran Mahathir, Khaled dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

54310FF2-E712-476B-AC39-C27E783A614A

10) Tan Sri M Kayveas

Selepas dilanda krisis pembatalan parti, Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) itu menyatakan hasratnya untuk bertanding kerusi Parlimen Ipoh Barat pada PRU15.

Kayveas bertanding atas tiket Bebas berdepan saingan empat penjuru menentang penyandang kerusi itu, M Kulasegaran (PH), Chek Kwong Weng (PN), Low Guo Nan (BN).

Kayveas pernah bertanding di Parlimen Taiping pada 2004 dan menang dengan majoriti 2,172.

Beliau pernah berada dalam Kabinet persekutuan ketika era pemerintahan Mahathir selepas BN memenangi pilihan raya 1999. Ketika itu, beliau diberi portfolio Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan gelaran Senator. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram