PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi semestinya membuatkan setiap rakyat berdebar kerana ia bakal menyaksikan kerajaan baharu dibentuk menerajui negara ini.
Malahan, setiap pilihan raya sudah pasti akan mengemukakan calon muka baharu, sekali gus memberi lebih alternatif kepada rakyat untuk memangkah bakal Yang Berhormat bagi mewakili mereka di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Memandangkan Undi18 dilaksanakan pada tahun ini, kebanyakan parti juga tidak terlepas peluang untuk mengemukakan calon bawah 40 tahun yang pertama kali mempertaruhkan nasib bagi menarik pengundi juga dalam kalangan golongan muda.
Berikut merupakan calon-calon muka baharu dan muda yang dilihat menyerlah pada PRU kali ini:
1) Syahredzan Johan (PH)
Syahredzan
Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, peguam berusia 39 tahun ini dilantik sebagai setiausaha politik kepada pemimpin veteran, Lim Kit Siang.
Beliau juga dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (PH) pada 2021.
Pada PRU15, Syahredzan menerusi tiket PH akan bertanding di kerusi Parlimen Bangi dan bertembung dengan enam lagi calon.
Mereka adalah Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (PN); Jamal Hisham Hashim (Bebas); Hoh Lee Lee dari Barisan Nasional (BN); dan Fauzi Hasimdari (Bebas).
Turut sah bertanding di Parlimen Bangi ialah Suthan Mookiah (Bebas); Chee Chee Meng dari Parti Rakyat Malaysia (PRM); dan Anuar Salleh dari Gerakan Tanah Air (GTA).
2) Mohd Shafiq Fhadly Mahmud (BN)
Mohd Shafiq (kiri) akan bertembung dengan Hamzah (kanan) pada PRU15. — Berita RTM
Mohd Shafiq merupakan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Larut, yang mana namanya disenaraikan pada saat akhir menggantikan Datuk Mohd Kazim Elias.
Ketua Penerangan Umno Larut yang berusia 37 tahun itu mengakui bahawa, beliau sedikit terkejut dengan perubahan pencalonan kerana pada awalnya disenaraikan di kerusi DUN Kubu Gajah.
Mohd Shafiq yang juga seorang jurutera petroleum itu akan bersaing dengan calon PN, yang juga penyandang kerusi sama pada PRU14, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Selain itu, beliau juga akan berhadapan dengan calon PH, Zolkarnain Abidin bagi merebut kerusi Parlimen Larut.
3) Nor Aisah Hasan (GTA)
Nor Aisah — NSTP
Usahawan wanita muda ini merupakan calon dipertaruhkan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk bertanding di Parlimen Dungun di Terengganu.
Nor Aisah, 32, baharu sahaja mendaftar dengan Pejuang sebelum berbincang dengan suami dan ibu yang membenarkannya bertanding.
Difahamkan, meskipun kedua-dua insan penting dalam hidupnya menyokong parti lain, namun tetap membantunya berkempen.
Pada PRU15, Nor Aisah bakal berdepan penyandang kerusi Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang bertanding mewakili PAS.
Selain itu, beliau akan ditentang Nurhisham Johari yang juga seorang ustaz daripada BN; doktor pakar, Datuk Dr Mohd Johari Mohamad (PKR); dan peguam, Ghazali Ismail (Bebas).
4) Adam Adli Abd Halim (PH)
Adam Adli (kiri) bersama tiga calon lain ketika Hari Penamaan Calon PRU15 pada Sabtu.
Adam Adli pernah menjadi aktivitis pelajar pada zaman kemahasiswaannya.
Pada 16 September 2021, Adam Adli secara rasmi menyertai PKR bersama-sama 20 aktivis muda dan pemimpin pelajar, antaranya peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi dan aktivis Sarah Hadi.
Beliau yang berusia 33 tahun itu merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR yang bertanding di bawah tiket PH bagi Parlimen Hang Tuah Jaya.
Adam akan bersaing dengan calon BN, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Mohd. Azrudin Md Idris (PN); dan Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh (PN).
5) Noor Azleen Ambros (BN)
Noor Azleen
Memetik laporan media tempatan, Noor Azleen yang juga merupakan Exco Pemuda Pusat memberitahu bahawa beliau komited untuk memberi yang terbaik dalam memastikan Parlimen Pasir Gudang kembali kepada BN.
Noor Azleen, 37, yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang mahu memastikan taraf hidup penduduk setempat lebih sejahtera sesuai dengan pengiktirafan Pasir Gudang, sebagai sebuah Majlis Bandaraya.
Beliau bakal memberi saingan kepada penyandang, Hassan Abdul Karim (PH); Mohamad Farid Abdul Razak (PN) dan Mohammad Raffi Beran (GTA).
6) Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (PN)
Muhammad Haris
Muhammad Harris, 30, ketika ini memegang jawatan sebagai Exco Armada Bersatu Nasional.
Sebelum ini, Muhammad Harris merupakan Pegawai Khas kepada Datuk Zuraida Kamaruddin ketika menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pada PRU15, beliau dipilih mewakili PN untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Balik Pulau.
Beliau akan dicabar oleh penyandang kerusi itu, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH), Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN); Ahmad Fazli Mohammad (GTA); serta dua calon Bebas, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad dan Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee.
7) Mohammed Hafiz Mohamed Abu Bakar (GTA)
Mohammed Hafiz (kanan) bakal mengadakan pertembungan dengan Guan Eng. — Bernama
Mohammed Hafiz yang berusia 35 tahun itu dipilih oleh Pejuang (GTA) untuk bertanding di Parlimen Bagan.
Ia memberi cabaran besar buat Mohammed Hafiz, apabila beliau berdepan calon senior dari PH yang juga penyandang bagi Parlimen tersebut, Lim Guan Eng.
Parlimen itu menyaksikan pertandingan empat penjuru termasuk Tan Chuan Hong (BN) dan Oh Teik Choon (PN).
8) Lim Si Ching (PN)
Si Ching (tengah) ketika Hari Penamaan Calon PRU15.
Lim Si Ching, 30, mempunyai latar belakang pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa di Birmingham City University.
Pada 2018, beliau memegang beberapa jawatan dalam Parti Gerakan Rakyat Malaysia, antaranya termasuk Naib Ketua Pemuda, Pemuda CC dan Sukarelawan Kempen Pilihan Raya.
Pada 2020 hingga 2022, beliau merupakan Setiausaha Agung Pemuda Nasional Parti Gerakan serta sukarelawan kempen pilihan raya negeri.
Si Ching yang sudah mendirikan rumah tangga merupakan Eksekutif Perolehan OCK Group Berhad.
Pada PRU15, Si Ching akan bertanding di Parlimen Damansara menerusi tiket PN.
Beliau akan melakukan pertembungan dengan Gobind Singh Deo (PH) dan Tan Gim Tuan (BN).
9) Marzuani Ardilla Ariffin (BN)
Marzuani (tiga dari kiri) dicalonkan untuk kerusi Parlimen Ketereh menggantikan Annuar Musa.
Marzuani yang juga Ketua Pergerakan Puteri Umno Kelantan ditawarkan BN untuk menjadi calon di Parlimen Ketereh.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Kak Gee mengakui merujuk perkara itu kepada penyandang Parlimen itu, Tan Sri Annuar Musa untuk mendapat nasihat serta pandangan.
Marzuani, 39, dipetik sebagai berkata, beliau tetap menjadikan Annuar sebagai suri teladan untuk dirinya terus mara dalam arena politik, serta pilihan raya yang akan dilaluinya.
Marzuani akan ditentang Hanif Ibrahim (Gerakan); Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor (PN) dan Rahimi L. Muhamud (PH) pada PRU15.
10) Danial Abdul Majeed (PH)
Danial Abd Majeed — Facebook
Danial, 26, merupakan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang akan bertanding di Parlimen Kepala Batas.
Beliau yang juga seorang jurutera pembuatan menunjukkan semangat dan kegigihan untuk bertanding mewakili PH.
Pada PRU15, beliau akan bertembung dengan penyandang kerusi Parlimen berkenaan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN) selain Dr Siti Mastura Mohamad (PN) dan Hamidi Abu Hassan (GTA).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram