PENGUMUMAN calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh gabungan parti baru-baru ini, sudah pasti hampir menjawab teka-teki tentang pemimpin yang bakal menerajui kerajaan baharu.
Dalam pada itu, pengerusi bagi Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pakatan Harapan (PH) tidak tertinggal untuk tercalon bagi kerusi Parlimen masing-masing.
Pastinya, setiap parti politik dijangka berdepan dengan cabaran untuk meraih undi termasuk pengundi muda.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis tampil memperincikan cabaran yang bakal dihadapi oleh kesemua pengerusi parti politik yang bakal bertanding:
1) Barisan Nasional
Zahid Hamidi
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan cuba mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak 1995.
Pada PRU15, beliau setakat ini dijangka dicabar oleh tiga calon lain iaitu Shamsul Iskandar Akin (PH), Faiz Na'aman (PN) dan Tawfik Ismail (Bebas).
Sebagai ahli politik yang sudah lama menawan kawasan itu, kata Mujibu, sudah tentu Ahmad Zahid sukar untuk dikalahkan oleh pesaingnya.
Namun, menurutnya, setelah melihat Ahmad Zahid terlibat dalam kluster mahkamah dan isu nasional lain, ia mungkin menjadikan sesetengah pengundi berfikir dua kali untuk memangkah namanya pada kotak undi.
2) Perikatan Nasional
Muhyiddin
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kekal menjadi calon bagi Parlimen Pagoh pada PRU15.
Bekas Perdana Menteri kelapan itu merupakan penyandang bagi kawasan itu sejak 1995 selepas memenangi PRU9.
Setakat ini, beliau bakal dicabar oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razali Ibrahim.
Namun, menurut Mujibu, latar belakang Razali yang juga orang lama dalam arena politik tidak boleh dipandang rendah.
Hal ini kerana, katanya, beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Muar yang menang tiga penggal berturut-turut pada PRU11, PRU12 dan PRU13.
"Mungkin pertembungan antara Muhyiddin dan Razali antara 'hot seat' yang kita nak tengok. Apakah tujuan Razali Ibrahim pindah daripada Muar ke Pagoh?
"Tetapi, melihat kepada personaliti dan jasa Muhyiddin jaga kawasan Pagoh memang saya rasa beliau berpotensi untuk menang," katanya kepada Majoriti.
3) Gerakan Tanah Air
Dr Mahathir
Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15.
Bagi merebut kerusi itu, Dr Mahathir akan bertembung dengan Mohd Suhaimi Abdullah (PN), Datuk Armishah Siraj (BN), manakala calon PH akan diumumkan sebelum penamaan calon pada 5 November ini.
Mujibu berkata, meskipun Dr Mahathir sudah lanjut usia, namun beliau sudah sinonim dengan Langkawi.
Melihat calon yang akan dipertaruhkan di Langkawi, katanya, BN tidak mencalonkan individu yang dijangka bakal bertanding.
Oleh itu, katanya, ia memudahkan laluan Dr Mahathir untuk menang di Langkawi.
"Sebab kita pun faham Tun M merupakan nama besar kerana jasanya membangunkan Langkawi," katanya.
Mujibu berkata, beliau difahamkan bahawa pengundi-pengundi Langkawi dijangka mengadakan undi protes.
"Mengenali Langkawi, kawasan itu tidak mempunyai ramai pengundi iaitu seramai 1,000 hingga 2,000 orang, selain ada dua DUN (Dewan Undangan Negeri) sahaja.
"Undi protes terjadi sama ada pengundi tak turun mengundi atau wujudnya pecah undi. Mereka tak undi BN tapi mereka undi Tun.
"Sudah tentu kalau saya jadi pengundi Langkawi, saya pun akan memutuskan untuk undi Tun M berbanding orang lain. Orang muda mungkin lebih mengenali Tun M," jelasnya.
4) Pakatan Harapan
Anwar Ibrahim
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penyandang kerusi Parlimen Port Dickson merupakan antara calon yang akan bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15.
Beliau bakal bersaing dengan nama-nama besar seperti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN) dan Abdul Rahim Tahir (GTA).
Papan iklan Never Lost in Tambun oleh Ahmad Faizal. — Agensi
Meskipun Anwar disifatkan sebagai 'giant' dalam mana-mana pilihan raya, Mujibu berkata, Ahmad Faizal awal-awal lagi sudah dilihat melakukan 'serangan' ke atas beliau.
"Ini termasuk dengan perkataan ayor bukan ayaq dan Never Lost in Tambun. Poster juga berada di mana-mana.
"Itu mungkin satu petanda Peja (Ahmad Faizal) sendiri tahu betapa sukarnya untuk mempertahankan kerusi ini (Tambun)," katanya.
Tambahan pula, Mujibu berkata, Tambun dikomposisi oleh penduduk Melayu dan bukan Melayu, selain dianggap sebagai 'Malay urbancy'.
Katanya, terma itu agak sesuai untuk dikaitkan dengan PKR atau PH yang dilihat progresif.
"Tapi, ada satu perspektif yang kita boleh lihat bagaimana Umno (BN) boleh memberi cabaran. Pada 2018 memang ada sentimen besar terhadap BN, tapi kalau kita tengok ia akan menimbulkan sekurang-kurangnya empat penjuru di Tambun.
"Pecahan undi kalau kita ambil undi-undi bukan Melayu mungkin solid kepada PH. Kalau itu berlaku mungkin Anwar boleh menang," tambahnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram