PRU15: GPS tampil 14 muka baharu, 5 calon wanita — Abang Johari


  • Politik
  • Khamis, 03 Nov 2022

Abang Johari (tengah) berkata, calon yang dikemukakan GPS ini datang daripada mereka yang berpengalaman, berumur pertengahan dan juga calon muda.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) pada Khamis mengumumkan calon yang akan bertanding bagi 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Senarai calon gabungan dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) itu diumumkan Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis di Kuching, Sarawak.

Abang Johari berkata, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof, masing-masing akan mempertahankan kerusi Kapit dan Petra Jaya.

Naib Ketua Wanita PBB, Datuk Seri Nancy Shukri pula akan bertukar kerusi dari Parlimen Batang Sadong ke Parlimen Santubong bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

1795496

Selain itu, turut diumumkan adalah Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum yang dicalonkan semula bertanding di Julau, Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing pula akan mempertahankan kerusinya di Bintulu manakala Datuk Willie Mongin diumum mempertahankan kerusi Puncak Borneo.

Abang Johari berkata, calon-calon yang dikemukakan GPS pada kali ini terdiri daripada kombinasi mereka yang berpengalaman selain menampilkan 14 muka baharu serta lima calon wanita.

"Calon yang dikemukakan GPS ini datang daripada mereka yang berpengalaman, berumur pertengahan dan juga calon muda,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon 5 November dan pengundian awal pada 15 November. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Politik Sarawak, GPS, Abang Johari, PRU15, Calon