Tak sangka jadi calon PRU15, Eizlan Yusof anggap tanggungjawab besar buat bangsa, negara


  • Politik
  • Rabu, 02 Nov 2022

Eizlan Yusof menganggap pencalonannya dalam PRU15 sebagai tanggungjawab besar buat bangsa dan negara.

PELAKON, Datuk Seri Idris Md Yusof atau lebih dikenali dengan nama Eizlan Yusof mengakui tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Eizlan yang diumumkan sebagai calon mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, dia menerima pemilihan itu sebagai satu tanggungjawab besar buatnya.

"Saya pada awalnya tidak meletak sebarang harapan untuk dicalonkan walau dilantik sebagai Ketua Penerangan Pejuang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum ini.

"Ini adalah satu tanggung jawab besar yang harus saya pikul demi bangsa dan negara.

"Saya harap pembabitan saya di dalam politik memberi manfaat kepada semua, terutama Parlimen Sabak Bernam yang saya wakili," katanya.

Eizlan akan bertanding di Parlimen Sabak Bernam manakala, seorang lagi pengarah dan pelakon, Ahmad Idham Ahmad Nadzri turut terpilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

Dalam pada itu, Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemilihan ini kerana mereka mempunyai berintegriti, berpengalaman dan layak mewakili rakyat.

"GTA adalah gerakan Melayu yang sayangkan negara dan mahu melihat dibangun pesat, maju dan rakyat mendapat nikmat sama rata. Kalau rakyat beri peluang kepada GTA, banyak nikmat yang boleh diperolehi," katanya.

Untuk rekod, proses penamaan calon diadakan pada 5 November ini dan PRU15 pula pada 19 November depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram