DATUK Yusof Apdal, adik kepada Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, antara muka baharu yang bakal bertanding di salah satu daripada 25 kerusi Parlimen Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November depan.
Selepas mengalahkan Yusof yang bersama Barisan Nasional pada pilihan raya 2018, Shafie akhirnya membenarkan abangnya bertanding di kerusi Lahad Datu.
"Saya memilihnya kerana orang di sana mahukan dia (Yusof)," katanya ketika mengumumkan senarai penuh calonnya untuk Sabah dan Labuan di Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.
Shafie mengekalkan kesemua tujuh penyandang kerusi Parlimen Sabah dan Labuan, termasuk kerusi Semporna miliknya, Munirah Majilis (Kota Belud) dan Datuk Darell Leiking (Penampang).
Yusof Apdal bakal bertanding di kerusi Parlimen Lahad Datu pada PRU15, 19 November depan.
Bekas ratu cantik Unduk Ngadau, Joanna Sue Rampas pula akan bertanding di Tuaran menentang wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS-PBS), Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Pakatan Harapan).
Senarai calon lain termasuk Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Datuk Rozman Isli (Labuan), Ahmad Mohd Said (Putatan), Masri Adul (Beaufort), Siti Noorhasmahwatty Osman (Pensiangan), Rowiena Rasid (Beluran), Sh Bokrata Sh Hassan (Libaran), Alias Sani (Batu Sapi), Ismail Ayob (Kinabatangan) dan Ma'mun Sulaiman (Kalabakan).
Rasinin Koutis pula diumumkan sebagai calon Keningau dan Ukim Buandi, Tenom manakala Jamil Hamzah dinamakan sebagai calon kerusi DUN Bugaya.
Pada Khamis, Warisan mengesahkan untuk bertanding di 53 kerusi Parlimen seluruh negara pada PRU15 dengan 25 kerusi Parlimen di Sabah, satu di Labuan, manakala 27 kerusi Parlimen lagi di Semenanjung.
Warisan sedang meneliti beberapa kerusi Parlimen lagi di Semenanjung untuk ditandingi dan tidak menolak menambah bilangan itu sekiranya mendapat maklum balas positif pengundi serta mempunyai calon mampu menang di kawasan berkenaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram