PRU15: Jangan bereksperimen dengan undi — Tok Mat


  • Politik
  • Khamis, 03 Nov 2022

Tok Mat mengingatkan pengundi supaya tidak bereksperimentasi dengan undi dan memperjudikan masa depan negara seperti yang berlaku pada PRU14.

JENTERA Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya menemui pengundi seramai mungkin dan menyampaikan mesej kepada rakyat mengenai rekod prestasi BN.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Mohamad Hasan berkata, jentera parti juga perlu mengingatkan pengundi supaya tidak bereksperimentasi dengan undi dan memperjudikan masa depan negara seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Temuilah seramai mungkin pengundi di tempat kita. Temuilah mereka dan terangkan kepada mereka (supaya) bagi kami (BN) mandat, bagilah parti yang telah mempunyai rekod prestasi yang baik.

"Rekod prestasi BN terbukti dapat menguruskan negara. Cukuplah membuat eksperimen kerana tindakan sedemikian membuatkan kita (rakyat) hidup sengsara pada hari ini," katanya ketika berucap melancarkan jentera BN Johor di Stadium Tertutup Educity Iskandar Puteri, Johor, pada Rabu.

Beliau turut mengingatkan supaya jentera parti dapat diurus dengan baik bagi menangkis segala dakwaan parti lawan.

1795496

“(Parti pembangkang) masih nak cakap besar sana sini, (seolah-olah) mereka yang terbaik dalam menguruskan negara. Bagi Barisan, tidak perlu kita bercakap buruk tentang orang lain, rakyat boleh jadi hakim. Apa yang penting kita balik ke kawasan masing-masing selepas ini, semua urusan jentera parti perlu (diuruskan) dengan baik,” katanya.

Mohamad atau Tok Mat yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, turut mengulangi sasaran yang ditetapkan kepada BN Johor untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 ini.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram