Digugur Umno, Annuar Musa dedah dirinya Presiden Muafakat Nasional


  • Politik
  • Rabu, 02 Nov 2022

Annuar Musa mendedahkan parti MN sudah didaftarkan dengan ROS.

PENYANDANG Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) mendedahkan dia mungkin mempunyai cara untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 walaupun belum dipilih Umno.

Annuar berkata, dia telah mendaftarkan parti yang bernama Muafakat Nasional (MN) dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 19 Sept 2019 dengan dirinya sebagai Presiden dan pemegang jawatan terdiri daripada pembantu rapatnya.

WhatsApp Image 2022-10-26 at 10.31.00 PM

Beliau berkongsi gambar pendaftaran parti di bawah ROS dalam catatan Facebook miliknya pada Rabu.

Bagaimanapun, semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan parti berdaftar MN tidak mempunyai logo berdaftar di bawah SPR dan ia tidak akan dapat bertanding dalam pilihan raya tanpa logo itu.

"Parti MN perlu membuat pendaftaran logo dengan SPR jika mau bertanding dalam PRU15. Namun, masa semakin suntuk kerana hari penamaan calon adalah pada Sabtu ini," kata sumber.

Terdahulu, muncul khabar angin yang mengatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu akan bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional sambil Annuar memaparkan gambar sijil parti bernama Muafakat Nasional dengan alamat Klang, Selangor.

Bersama sijil itu, turut disertakan ialah senarai pemegang jawatan menunjukkan Annuar sebagai presiden, Datuk Shahrul Nizam Yunos sebagai setiausaha dan Wizanie Zerith Shah Putra Shahrul Nizam sebagai bendahari.

Ahli jawatankuasa lain termasuk setiausaha politiknya, Datuk Budiman Mohd Zohdi; setiausaha sulitnya, Datuk Mohamed Azam Ismail dan setiausaha akhbarnya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Tun Faisal digantung baru-baru ini selama enam tahun sebagai ahli Umno selepas beliau mengkritik Pengerusi Barisan dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

MN dikenali secara meluas sebagai gabungan antara Umno dan PAS yang menjadi goyah selepas parti itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam Perikatan Nasional.

Pemimpin Umno dan PAS sentiasa menegaskan bahawa gabungan itu tidak pernah didaftarkan secara rasmi.

Semakan lanjut menunjukkan bahawa gabungan itu dan sijil MN tiada kaitan antara satu sama lain.

Pemimpin PAS masih belum menjawab soalan sama ada mereka mengetahui parti yang didaftarkan oleh Annuar itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram