KURANG sebulan sebelum pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kebanyakan ahli politik sudah pasti sedang fokus mempersiapkan parti masing-masing dengan manifesto bagi menambat hati rakyat.
Di sebalik kesibukan itu, nampaknya ada juga antara mereka masih cuba menjatuhkan reputasi pemimpin dan parti lain.
Perkara ini dilihat apabila Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir sekali lagi mencari poin bagi menghentam pemimpin parti politik lain.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sanggup merendahkan diri dan melupakan perbuatan 'khianat' Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya.
Dr Mahathir berkata, tindakan itu dilakukan bagi membolehkan GTA dan PN menghadapi PRU15.
Katanya, parti pembangkang hanya boleh mengalahkan Umno dengan cara bekerjasama dan atas sebab itu beliau memilih mengusulkan perkara itu kepada Muhyiddin, namun ditolak oleh Pengerusi PN itu.
Dr Mahathir berkata, rakyat juga akan terus menanggung hutang jika Umno terus berkuasa.
Tidak cukup dengan itu, Dr Mahathir berkata, aktiviti rasuah terus berleluasa manakala rakyat akan menanggung beban hutang, sekiranya Umno dibenar terus memerintah pada masa akan datang.
Beliau mendakwa, parti Melayu terbesar itu memutuskan untuk menyertai pilihan raya bertujuan membebaskan penyamun dan mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Tambahnya, mungkin ketika ini rakyat belum merasai kesan daripada hutang negara yang tinggi, melainkan wujudnya peningkatan kos sara hidup, kos perniagaan, kos pembelian bahan binaan dan sebagainya.
"Pengundi perlu sedar apabila kos ini meningkat, peniaga dan pemilik perusahaan akan menaikkan harga barangan dan lambat laun, jika hutang negara terus meningkat akibat daripada perbuatan rasuah, kadar inflasi akan dan sudah pun meningkat.
"Nilai wang di tangan rakyat akan menyusut dan kuasa membeli menyusut dan terus menyusut. Ketika ini, gurauan bahawa satu guni duit tidak cukup untuk beli segantang beras bukan lagi satu jenaka tetapi satu kenyataan.
"Tak cukup dengan kos sara hidup meningkat, halal haram juga tidak dipeduli oleh perasuah-perasuah ini seperti kes daging kartel baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Rasuah jejas periuk nasi
Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, pengundi sudah bosan mendengar perkara berkaitan rasuah, sebaliknya mereka hanya berminat mengetahui isu-isu berkenaan periuk nasi atau 'bread and butter issues'.
Hal ini kerana, dakwanya, rasuah yang berleluasa dalam negara akan dan sudah pun menjejaskan periuk nasi mereka.
"Contohnya, isu 1MDB (1 Malaysian Development Berhad) berdepan hutang lebih RM32 bilion, yang memerlukan bayaran faedah sahaja sebanyak RM1.7 bilion setahun. Hutang pokok tidak dapat dibayar.
"Belum pun masalah hutang 1MDB diselesai, terdedah pula skandal Littoral Combat Ship (LCS). RM6 bilion telah dibayar tetapi tiada satu kapal yang siap," ujarnya.
Dakwanya lagi, ura-ura mengatakan terdapat pihak di dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ingin mengaut keuntungan dalam projek pembelian Meriam Self-Propelled Howitzer (SPH) membabitkan RM854 juta.
Beliau berkata, skandal itu terdedah apabila Ismail Sabri menulis kepada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang mengarahkan pemberian kontrak secara rundingan terus kepada sebuah syarikat yang baharu ditubuhkan.
"Tender terhad yang awal dibatal supaya syarikat yang terpilih ini diberi tawaran tender rundingan terus.
"Berbilion ringgit duit kerajaan yang boleh diguna untuk bantu rakyat, memberi biasiswa, mendiri infrastruktur hilang kerana rasuah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram