SPEKULASI calon Barisan Nasional yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub pada Pilihan Raya Umum (PRU15) bakal disingkirkan mula bertebaran di media sosial sejak kebelakangan ini.
Desas-desus itu timbul selepas terdapat beberapa calon BN mula menunjukkan petanda awal penyingkiran tersebut di media sosial masing-masing.
Drama politik itu menjadi tumpuan segenap masyarakat terutamanya parti pembangkang yang menunggu peluang mengambil kesempatan terhadap krisis dalaman yang berlaku dalam parti tersebut.
Pada masa sama, beberapa parti sudah menunjukkan 'taring' dengan memulakan langkah awal mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada PRU kali ini.
Bagaimanapun, BN masih berteka-teki dengan calon yang akan bertanding sehingga membuatkan ramai tertunggu dengan nama yang bakal diumumkan.
Berikut, Majoriti senaraikan beberapa calon BN yang dijangka akan disingkirkan pada PRU kali ini:
Tan Sri Annuar Musa
Terdapat khabar angin mengatakan Tan Sri Annuar Musa yang juga penyandang kerusi Parlimen Ketereh tidak dicalon pada PRU15 kali ini.
Beliau dalam hantaran Facebooknya memberitahu mendengar khabar angin mengenai calon yang disebut bakal bertanding sudah 'dipancung'.
“Janji kononnya bakal dipilih adalah para WALI (WINNABLE, ACCEPTABLE and LIKEABLE) namun kedengaran sana sini banyak sudah 'winners' dipancung terutama yang dekat dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri. Tapi itu rumours (khabar angin) yang tidak semestinya tidak berasas.
“Dijanjikan juga Top 5 diberi kuasa merundingkan bagi pihak Majlis Kerja Tertinggi yang berkuasa memilihnya, namun ahli top 5 mengesahkan list itu ditapis lagi oleh High up. Proses sedang berjalan,” katanya.
Penyandang Parlimen Ketereh ini juga menasihatkan untuk menjadi calon, seseorang itu harus amanah dan bukan hanya melobi diri sendiri.
Datuk Seri Shahidan Kassim
Kemelut dalaman berhubung pemilihan calon semakin panas selepas Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga ahli Parlimen Arau memberi bayangan bahawa dirinya akan digugurkan daripada senarai calon yang akan bertanding.
Dalam satu hantaran melalui Facebook beliau pada Isnin malam, Shahidan berkata, bendera BN yang dipasang hampir seminggu lalu, sudah mula diturunkan.
"Malam ini (Isnin) malam kesedihan teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera sudah diturunkan. Kali pertama dalam sejarah," katanya.
Datuk Zahidi Zainul Abidin
Datuk Zahidi Zainul Abidin merupakan penyandang kerusi Parlimen Padang Besar juga dikatakan menjadi salah seorang mangsa penyingkiran.
Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar menguasai Parlimen Padang Besar sejak dua penggal lalu iaitu pada PRU13 dan PRU14.
Bagaimanapun, terdapat khabar angin mengatakan beliau akan diganti dengan calon baharu untuk bertanding di kerusi Parlimen Padang Besar.
Pada masa sama, pemimpin berpengalaman itu turut meluahkan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen tersebut pada PRU kali ini.
Dalam pada itu, antara nama lain yang disebut-sebut bakal akan disingkirkan termasuk Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), Datuk Halimah Mohamad Sadique dan juga Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), namun masih tiada kesahihan berita tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram