PRU15: Calon pelbagai latar belakang bukti demokrasi sihat — Pakar


  • Politik
  • Selasa, 01 Nov 2022

Meletakkan calon dengan pelbagai latar belakang merupakan salah satu strategi yang digunakan parti politik pada PRU15.

STRATEGI beberapa parti politik mengumumkan calon baharu daripada pelbagai bidang disiplin dan pengalaman membuktikan terdapat ruang demokrasi di negara ini.

Menurut penganalisis politik, Dr Tawfik Yaakub, strategi tersebut membuktikan ruang demokrasi di Malaysia berada dalam keadaan sihat dan tidak menutup peluang masyarakat terlibat dengan politik.

"Bagaimanapun, individu yang tercalon untuk bertanding harus mempunyai jiwa berkhidmat kepada rakyat dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

1794468

"Calon tersebut juga harus memahami tugas sebenar sebagai wakil rakyat dan menyumbang tenaga kepada rakyat di kawasan masing-masing sekiranya berjaya menang," katanya kepada Majoriti.

Kata Tawfik, calon daripada pelbagai bidang juga mampu mempengaruhi sokongan pengundi dari konteks keyakinan dan kepercayaan.

"Saya fikir, parti sedang berusaha mengetengahkan calon daripada pelbagai latar belakang kerana pengundi tidak mahu wakil rakyat yang tidak beretika ketika berbahas dan bersikap samseng di khalayak umum.

"Calon tersebut harus memiliki latar belakang akademik yang baik, bebas rasuah dan sentiasa cakna terhadap isu-isu membabitkan rakyat," jelasnya.

dr tawfik

Dr Tawfik Yaakub

Tambahnya, pelbagai latar belakang ini penting supaya setiap ahli Parlimen dan ahli Dewan Rakyat mampu menggalas tugas di kementerian yang bersesuaian.

"Wakil rakyat yang mempunyai kepakaran tertentu yang tidak dilantik menganggotai kabinet boleh membantu kerajaan dalam pelbagai jawatan kuasa di peringkat Parlimen.

"Saya percaya pengundi semakin matang dan menerima maklumat daripada akses terbuka untuk mengenal pasti latar belakang calon yang diketengahkan oleh sesetengah parti politik.

"Semua terletak di tangan pengundi menggunakan kebijaksanaan memilih calon yang berwibawa, berpotensi dan berpengalaman untuk mentadbir negara keluar daripada krisis ekonomi dan politik yang melanda ketika ini," katanya.

Tawfik memberitahu, terdapat kebarangkalian calon daripada pelbagai bidang ditolak kerana pengundi merasakan ia sebagai strategi tangkap muat yang tidak pernah terlibat secara aktif dalam kancah politik dan tidak berpengalaman luas.

Berikut, Majoriti senaraikan beberapa calon dengan pelbagai latar belakang yang akan bertanding pada PRU15 kali ini:

WhatsApp Image 2022-10-31 at 3.57.22 PM

DATUK HASSAN BASRI AWANG MAT DAHAN — PKR

Beliau merupakan bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Datuk Hassan mempunyai sejarah yang luas dalam dunia akademik termasuk sebagai pensyarah di Universiti Malaya pada 1987 hingga 2011 sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengajian Malaysia, Universiti Cairo, Mesir.

Beliau akan bertanding di Jerantut, Pahang di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

WhatsApp Image 2022-10-31 at 3.56.50 PM

SAIPOLYAZAN MAT YUSOP — PKR

Saipolyazan Yusop, 52, adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor pada 2019 dan sedang berkhidmat sebagai pengurusan kanan UEM Edgenta Berhad sebagai Country Head (Saudi).

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang korporat selama 30 tahun dan pernah bertugas di Petronas.

Beliau akan bertanding di Sungai Besar, Selangor di bawah parti PKR.

WhatsApp Image 2022-10-31 at 3.59.01 PM

DR. NORAISHAH MYDIN ABDUL AZIZ — PKR

Pensyarah Kanan berusia 47 tahun di Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya merupakan seorang tokoh profesional berkelainan upaya (OKU) yang menjadi aktivis pesakit Spina Bifida.

Beliau yang menghidap Spina Bifida iaitu tulang belakang tidak terbentuk dengan baik sejak kecil memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Noraisah melanjutkan pelajaran di University of London di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang biokteknologi perubatan dan akan bertanding di Putrajaya di bawah tiket PKR.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram