PRU15: Jadi calon bukan segala-galanya, Annuar Musa tak akan berdiam diri


  • Politik
  • Selasa, 01 Nov 2022

Annuar menerima hakikat bahawa beliau berkemungkinan besar akan dipecat kerana bersuara menentang kepimpinan tertinggi Umno.

TAN Sri Annuar Musa mengesahkan tidak menerima jemputan ke majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) yang dijadualkan berlangsung di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur pada Selasa.

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu berkata, tiada surat dihantar kepadanya untuk hadiri majlis pada Selasa dan akan meneruskan program di kawasan Parlimennya seperti biasa, walaupun spekulasi kuat mengatakan Annuar antara yang disisihkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menerima bahawa beliau berkemungkinan besar akan dipecat kerana bersuara menentang kepimpinan tertinggi Umno tetapi beliau "tidak akan berdiam diri selama-lamanya".

Annuar juga mengesahkan Timbalan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Datuk Md Alwi Che Ahmad ada memaklumkannya berhubung surat jemputan yang diterima berhubung majlis yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.

Berhubung spekulasi namanya tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Annuar berkata, sedia menerima sebarang keputusan yang dibuat parti dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat terlebih dahulu.

“Saya fikir biar benda itu terjadi dulu baru kita fikir, kalau fikir rancang awal-awal itu orang kata nak mendahului qada dan qadar itu tak perlu.

“Cuma pesan saya begini jangan panik-panik, jangan menggelabah seolah-olah jadi calon itu segala-galanya dalam hidup,” katanya lagi.

Namun, Annuar tidak menyifatkan sekiranya tidak tercalon pada PRU15 kali ini, ia bukan pengakhiran kepadanya selepas ini.

“Kalau parti tidak pilih kita, itu bukanlah pengakhirannya.

“Tapi itu juga tidak menyekat kita kalau kita nak juga bertanding, kita boleh juga bertanding, kita beli borang, bayar deposit, semua orang pun boleh bertanding, orang tak ada parti pun boleh bertanding,” ujarnya.

Sebelum ini, ada khabar angin mendakwa Menteri Wilayah yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Adham Baba dan Annuar sebagai antara nama yang tidak dicalonkan semula oleh Umno dalam PRU15.The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Annuar Musa, PRU15, Ketereh, calon, UMNO, BN