PRU15: Hormat tawaran Zahid atau setia pada Annuar, Marzuani dalam dilema


  • Politik
  • Selasa, 01 Nov 2022

Marzuani masih lagi sedang memikirkan keputusan tersebut. — Facebook/Bernama TV

KETUA Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin mengaku berada dalam keadaan serba salah untuk menerima tawaran untuk bertanding kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana penyandang kerusi berkenaan Tan Sri Annuar Musa, merupakan Ketua Umno Ketereh iaitu ketuanya di bahagian manakala Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid adalah ketua partinya.

"Saya rasa sedikit tekanan kerana kita sedia maklum penyandang kerusi Parlimen Ketereh iaitu Tan Sri Annuar Musa merupakan ketua saya. Saya rasa serba salah untuk terima tawaran ini daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kerana dia juga ketua parti,” kata Ketua Puteri Umno Ketereh tersebut.

Marzuani Ardila ketika dihubungi Bernama memberitahu bahawa beliau belum membuat keputusan untuk menghadiri majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) yang dijadualkan diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa kerana masih berbincang dengan kepimpinan Umno bahagian Ketereh.

"Apa yang boleh saya katakan, saya masih lagi sedang memikirkan keputusan ini kerana saya setia dengan Annuar dan hormat keputusan Ahmad Zahid," katanya.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia terdahulu mengesahkan tawaran sebagai calon kerusi Parlimen Ketereh telah diberikan kepada Marzuani Ardila.

Pada PRU14, Annuar memenangi Parlimen Ketereh dengan majoriti 4,626 undi, menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram