SELEPAS tidak lagi bertanding di Rembau, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairy Jamaluddin kini dikaitkan untuk 'bertempur' di beberapa kawasan berbeza.
Antara kawasan panas bakal menjadi tumpuan Menteri Kesihatan itu termasuk Tampin atau Kuala Pilah di Negeri Sembilan; Alor Gajah, Melaka; serta terbaharu di Sungai Buloh, Selangor.
Kerusi Parlimen Sungai Buloh yang sebelum ini dikenali sebagai Subang sebelum persempadanan semula terakhir, telah disandang oleh R. Sivarasa dari PKR selama tiga penggal.
Tempoh tersebut boleh dikatakan cukup lama, manakala risiko untuk kerusi Parlimen tersebut dirampas parti lain juga agak tipis.
Namun, tarikh pengundian pada 19 November ini merupakan penentu sama ada kawasan tersebut bakal dipimpin oleh pemimpin sama atau bertukar tangan.
Tambahan pula, majoriti pengundi kawasan Sungai Buloh setakat 2018 merupakan kaum Melayu iaitu sebanyak 65.33 peratus.
Sementara itu, pengundi kaum Cina adalah sebanyak 21.64 peratus, India (10.72 peratus) dan etnik lain (2.32 peratus).
Berikut merupakan kelebihan dan kekurangan sekiranya benar Khairy berhasrat untuk merampas kerusi Sungai Buloh pada PRU15:
KELEBIHAN:
i. Perkhidmatan memberangsangkan
Syed Agil — Agensi
Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, Khairy mempunyai kredibiliti yang baik sebagai Menteri Kesihatan, selain mampu menguruskan pandemik Covid-19 secara memberangsangkan.
Khairy dianggap mampu menguruskan pandemik Covid-19 secara memberangsangkan.
Beliau berkata, kepimpinan sedemikian membolehkan kepimpinan Khairy diterima masyarakat.
ii. Teroka kawasan Parlimen lain
Pengalaman luas dalam dunia politik membolehkan Khairy meneroka kawasan Parlimen lain.
Dengan pengalaman yang luas dalam politik Umno, Syed Agil berkata, Khairy boleh meneroka di kawasan Parlimen lain yang tidak terhad hanya di Rembau - kawasan yang ditakhlukinya selama beberapa penggal.
"Komitmen Khairy sebagai pemimpin rakyat dan anggota Kabinet menjadikan beliau matang untuk bertanding di kawasan-kawasan asing baginya," katanya kepada Majoriti.
KEKURANGAN
i. Cabaran
Meskipun persembahan ditunjukkan di Rembau dianggap cemerlang, pemilihan Khairy ke kawasan Parlimen yang asing buatnya akan mendorong suatu cabaran dari segi persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap kepimpinan beliau.
Disebabkan Khairy bukan anak tempatan di kawasan baharu, Syed Agil berkata, kepimpinan anak jati Rembau itu tidak sama nilainya jika dibandingkan dengan kerusi luar yang mahu ditandinginya.
"Oleh itu, beliau harus bersedia meneliti keperluan, kehendak dan budaya setempat di kawasan baharu yang ditandinginya," katanya.
ii. Kesulitan
Khairy harus bersedia meneliti keperluan, kehendak dan budaya setempat di kawasan baharu yang ditandinginya.
Tambah Syed Agil, pencalonan Khairy di kawasan baharu akan menimbulkan kesulitan dalam usaha beliau meyakinkan kepemimpinan beliau di sana.
Katanya, pengundi-pengundi di kawasan baharu sudah pasti ada yang curiga dengan kehadirannya.
"Adakah mengikut kehendak parti dan mencuba nasib untuk memenangi kerusi politik di situ atau tulus memperjuangkan nasib para pengundi di situ?
"Apakah para pengundi akan memperjudikan nasib mereka menerima kehadiran Khairy dan mengharapkan lebih banyak janji pembaharuan akan dikotakan selepas PRU nanti?" ujarnya.
Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan nama calon-calon yang bakal bertanding dalam PRU15 pada Selasa malam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram