"SAYA ok."
Itu yang sempat dikatakan oleh Dr Murnirah Abd Rahman, 36, yang terlibat dengan insiden helikopter terhempas di Cameron Highlands, Pahang pada Rabu.
Kata-kata itu diberitahu mangsa yang juga pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika berhubung dengan suaminya, Abdul Latif Abdul Razak, 38.
Menurut Abdul Latif, dia dimaklumkan bahawa isterinya berada dalam keadaan stabil dan sedang menunggu masa untuk dihantar ke Hospital Ipoh, Perak.
"Dia cuma cakap itu sahaja. Mungkin sedang trauma. Tetapi saya bersyukur Alhamdulillah, dia terselamat dalam insiden itu dan saya dimaklumkan dia mengalami kecederaan di bahagian pinggang.
"Dia akan dibawa ke Hospital Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut namun masih belum tiba ekoran cuaca buruk di Tanah Rata, Cameron Highlands," katanya kepada Majoriti.
Menurut Abdul Latif, isterinya yang juga ibu kepada dua orang anak merupakan seorang pegawai perubatan yang sudah berkhidmat selama 12 tahun.
Antara aktiviti dilakukan oleh kakitangan KKM di kawasan pedalaman.
Malah, isterinya juga sudah banyak kali menaiki helikopter untuk memberikan khidmat kesihatan di kawasan pedalaman di Gua Musang, Kelantan.
"Perkara begini memang tidak pernah terjadi tetapi dia sudah diberikan latihan di bawah syarikat penerbangan itu," katanya.
Terdahulu, sebuah helikopter yang dinaiki enam orang dipercayai terhempas di Cameron Highlands kira-kira pukul 1.15 petang pada Rabu.
Mereka yang berada di dalam helikopter itu terdiri daripada seorang juruterbang dan lima orang, dipercayai kakitangan KKM.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Azmi Osman berkata, tiga daripadanya mengalami cedera parah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram