Polis Perak sahkan pilot helikopter hilang di Bidor maut di lokasi kejadian


  • 112
  • Isnin, 12 Sep 2022

Mayat mangsa dihantar Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. — Bernama

JURUTERBANG helikopter terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor, Perak petang Ahad ditemui mati di lokasi kejadian.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Sementara itu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Facebooknya pada Isnin memaklumkan, mangsa masih hidup ketika ditemui di lokasi nahas, namun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Beliau berkata, petunjuk awal menunjukkan mangsa masih hidup di lokasi nahas apabila ditemui pada pukul 8:18 pagi.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri semasa pasukan penyelamat sedang menguruskan dalam misi menyelamat tersebut.

"Pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang menunggu pengesahan daripada hospital mengenai punca kematian," katanya.

Terdahulu, Ka Siong dalam satu hantaran berbeza memaklumkan, juruterbang itu selamat dan dijumpai pada 8.20 pagi dengan pasukan penyelamat berusaha membawa keluar mangsa untuk dihantar Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Pada Ahad, Ka Siong dilaporkan berkata, pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram