TIGA individu dilaporkan terbunuh selepas sebuah helikopter milik tentera India terhempas di daerah Upper Siang, Arunachal Pradesh, India pada Jumaat.
Difahamkan, helikopter babit berlepas dari bandar Likabali, India pada pagi Jumaat sebelum terhempas berhampiran sebuah perkampungan kira-kira 25 kilometer dari lokasi berlepas.
Terdapat lima individu termasuk dua juruterbang berada dalam helikopter tempur jenis HAL Rudra tersebut.
Setakat ini, pasukan penyelamat sedang melakukan operasi menyelamat menggunakan helikopter termasuk bantuan penduduk kampung berikutan lokasi kejadian sukar dimasuki dengan kenderaan darat.
Menurut laporan India Today, mayat tiga individu telah dijumpai berhampiran lokasi kejadian manakala dua lagi masih dalam pencarian.
"Kejadian nahas membabitkan helikopter ini merupakan insiden kedua terjadi di sekitar daerah Arunachal Pradesh, India pada bulan ini.
"Kejadian pertama berlaku pada 5 Oktober lalu yang menyebabkan seorang juruterbang terbunuh selepas helikopter jenis Cheetah milik tentera india mengalami kerosakan ketika latihan penerbangan," jelasnya.
Operasi mencari dua lagi individu masih giat dijalankan dan punca kejadian masih dalam siasatan.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram