Pilot maut nahas helikopter di Bidor sah warga Hong Kong


  • 112
  • Isnin, 12 Sep 2022

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat. — Bernama

JURUTERBANG helikopter yang maut selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) dan hilang di kawasan Bidor, Perak, merupakan warganegara Hong Kong.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58, dan keluarganya sudah dimaklumkan.

Katanya, mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi Isnin.

"Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus.

"Lima minit kemudian, kru TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit," katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, pada Isnin.

Beliau berkata, mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.

"Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram