SEORANG wanita dikejarkan ke hospital berdekatan selepas ditanduk oleh seekor seladang di bandar Briscoe, Texas baru-baru ini.
Tular sebuah video di Tiktok yang dikongsikan oleh mangsa sendiri, Rebecca Clark pada 11 Oktober lalu dengan tontonan sebanyak 3.3 juta yang memaparkan dia diserang seekor seladang.
Menerusi video yang dikongsikan, Clark menyatakan dia sedang mendaki di Taman Negeri Caprock Canyon, Texas dan tidak menjangkakan bakal bertembung dengan haiwan liar tersebut.
Melalui rakaman tersebut, terdapat tiga ekor seladang yang berada sekitar Clark dan dia perlu melintasi kawasan itu. Clark cuba sebaik mungkin untuk tidak mengeluarkan bunyi agar seladang-seladang itu tidak menghiraukannya.
Melalui video itu, Clark berkata,'Saya tak kacau awak semua, saya cuma nak lalu je, cepat pergi'.
Clark cuba berjalan di belakang seladang tersebut dan berjaya melepasinya. Namun, secara tiba-tiba, salah seekor dari seladang tersebut berpaling dan terus menuju ke arahnya.
Kedengaran Clark menjerit dan segera berlari namun terjatuh pada semak yang dilanggarnya.
Pada video susulan yang dikongsikan, Clark menjelaskan, seladang tersebut telah menghempap belakangnya, menanduknya, dan dia juga telah dilempar ke semak.
Selepas hampir 50 minit kejadian tersebut berlaku, Clark dihantar ke hospital berdekatan dengan menggunakan helikopter.
Clark berkata melalui video susulannya, 'Saya baik-baik sahaja', dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan warganet.
Jabatan Taman Texas dan Haiwan Liar berkata, 'Seladang adalah haiwan agresif, sekiranya mereka mengangkat ekor, mengais tanah, dan menundukkan kepala mereka, segera pergi dari kawasan tersebut.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram