Pilot helikopter hilang di Bidor ditemukan selamat, kata Wee Ka Siong


  • Primer
  • Isnin, 12 Sep 2022

Ka Siong berkata, helikopter jenis Eurocopter itu dilaporkan terputus hubungan dengan KLATCC kira-kira pukul 12.16 tengah hari. — Facebook

JURUTERBANG sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor, Perak petang Ahad ditemukan selamat di sekitar lokasi kejadian.

Berita terbaharu itu dikongsi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Facebooknya pada Isnin.

Beliau berkata, juruterbang itu dijumpai pada 8.20 pagi dan pada masa ini pasukan penyelamat sedang berusaha membawa keluar juruterbang berkenaan untuk dihantar Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan semua yang terlibat di dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.

Pada Ahad, Ka Siong dilaporkan berkata, pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, SAR dihentikan sementara malam Ahad memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan tidak menentu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, operasi itu melibatkan kawasan Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan dan turut memfokuskan pencarian dalam radius lima kilometer di kawasan Hutan Simpan Chikus, tempat isyarat terakhir mangsa sebelum hilang.

Ia melibatkan 10 pegawai dan 197 anggota daripada pelbagai agensi antaranya PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Udara, Bomba, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Jabatan Perhutanan Negeri selain sebuah helikopter Unit Udara PDRM turut diterbangkan bagi mengesan mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram