PLUS jangka 1.9 juta kenderaan penuhi lebuh raya sempena Maulidur Rasul


  • Primer
  • Rabu, 05 Okt 2022

Orang ramai juga disaran memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan pada hujung minggu ini.

SEMPENA cuti sambutan Maulidur Rasul, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya setiap hari, bermula Jumaat ini sehingga Isnin.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, jumlah itu merupakan lonjakan daripada 1.7 juta kenderaan sehari berbanding hari biasa sejak negara memasuki fasa peralihan endemik.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa pelanggan merancang pergerakan bagi menghadapi kemungkinan berlaku kesesakan yang memanjangkan tempoh perjalanan.

"Kami menasihatkan supaya pelanggan yang ingin menggunakan lebuh raya pada hujung minggu ini supaya membuat persediaan.

"Pastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan akibat lonjakan trafik tersebut.

"Sebelum memasuki lebuh raya, pelanggan dinasihatkan untuk menambah nilai kad Touch n Go dan e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID) dengan baki yang mencukupi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, dengan memuat turun aplikasi PLUS, pelanggan boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.

Menurutnya, sebagai alternatif, pelanggan boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter @PLUSTrafik, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI dan papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih.

"Pelanggan juga disaran menggunakan aplikasi Waze atau Google Map.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah memberi penerangan tentang prosedur operasi standard (SOP) pasca Covid-19 yang masih kekal dikuatkuasakan.

"Pelanggan lebuh raya juga dinasihatkan supaya memakai pelitup muka apabila berada di kawasan yang sesak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram