'Rider' bengang, tengking pemandu guna laluan kecemasan


  • Tular
  • Sabtu, 17 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan beberapa penunggang motosikal menahan dan memarahi pemandu yang menggunakan lorong kecemasan.

SIKAP biadab dan pentingkan diri sesetengah pemandu menggunakan laluan kecemasan di lebuh raya sememangnya menyakitkan hati dan boleh mengundang perkara yang tidak diingini.

Meskipun tiada undang-undang mengatakan lorong kecemasan merupakan laluan motosikal, rata-rata penunggang akan menggunakan laluan bagi mengelak daripada sebarang kemalangan ataupun pelanggaran.

Malah menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lorong kecemasan hanya untuk kegunaan pihak penguatkuasa sahaja ketika berlakunya kecemasan.

Bagaimanapun tular di media sosial baru-baru ini apabila sekumpulan penunggang motosikal bertindak drastik menahan sebuah kereta yang menggunakan laluan kecemasan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Tidak setakat itu, mereka turut memarahi pemandu kereta terbabit yang disifatkan sebagai pentingkan diri.

Pemandu terbabit dipercayai bertindak sedemikian untuk mengelakkan kesesakan trafik dan mengambil jalan pintas dengan menggunakan lorong kecemasan bagi memudahkan perjalanannya.

Bagaimanapun tindakan pemandu itu ternyata membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan kumpulan penunggang motosikal terbabit mendesak agar pemandu itu turun dan memohon maaf atas perbuatannya.

Menjengah ke ruangan komen, netizen turut memberikan pendapat berhubung isu tersebut.

“Pendapat saya, laluan kecemasan memang bukan untuk kegunaan motosikal tapi kalau ikutkan logik memang penunggang kena pandu di lorong kiri sepatutnya.

“Kalau ikut jalan tengah kereta semua bergerak laju dan boleh membahayakan mereka,” kata syirahhhh.

“Kebiasaannya motosikal memang akan gunakan laluan tu sebab nak mengelak daripada berlakunya kemalangan, tapi ada juga kereta yang memang suka ikut laluan kecemasan dengan alasan nak cepat,” jelas Zam/Abu.

Namun atas budi bicara, undang-undang itu tidak dikawal ketat JPJ kerana menyedari akan keselamatan penunggang motosikal yang terdedah kepada kemalangan di lebuh raya.

Pengguna jalan raya yang didapati menggunakan lorong kecemasan boleh didakwa di mahkamah di bawah Akta JPJ 1987 ataupun denda kompaun sebanyak RM300. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram