Pemandu lori maut, bergesel bas ekspres tanpa penumpang di PLUS dekat Batu Pahat


  • 112
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat pemandu lori yang tersepit dalam kemalangan di PLUS dekat Batu Pahat awal pagi Sabtu. — Bomba

SEORANG terkorban dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dengan sebuah bas ekspres di Kilometer (KM) 116 Lebuh Raya Utara Selatan menghala utara, dekat Batu Pahat, Johor awal pagi Sabtu.

Mangsa adalah pemandu lori berusia 46 tahun yang berlanggaran dengan bas yang tidak membawa penumpang ketika keua-duanya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari arah Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, maklumat berhubung kemalangan tersebut diterima pada kira-kira pukul 12.10 pagi.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori berusia 46 tahun masuk ke laluan bas dari lorong kanan ke kiri menyebabkan bas terlanggar sisi hadapan kiri lori, lalu kedua-duanya terbabas ke sebelah kiri jalan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu lori meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu bas berusia 29 tahun mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Muar untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Khairol Nizam Aresat berkata, seramai lapan anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi bagi membantu mangsa kemalangan.

"Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori telah tersepit di bahagian bawah lori.

"Tindakan operasi mengeluarkan mangsa dengan mengalihkan lori menggunakan perkhidmatan 'towing'," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram