Dua mati tersepit nahas 4 kenderaan awal pagi di PLUS Pagoh


  • 112
  • Rabu, 14 Sep 2022

Keadaan kenderaan remuk selepas terlibat kemalangan di Kilometer 134.7 PLUS arah Selatan berdekatan Pagoh pada Rabu. — Sinar Harian

DUA lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM134.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, di Pagoh, Muar, Johor pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, mangsa yang maut adalah pemandu lori kontena, K. Gunalan, 45, dan pemandu kereta Proton Wira, Senawi Jelani, 55.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan kejadian membabitkan dua lori kontena, sebuah treler serta Proton Wira itu pada pukul 4.48 pagi.

"Sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) daripada BBP Pagoh dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) daripada BBP Bukit Gambir digegaskan ke lokasi.

"Tindakan awal operasi adalah mengeluarkan Gunalan dan Senawi yang tersepit dalam kenderaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Fadli berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya operasi berkenaan tamat pada pukul 7.09 pagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bomba, kemalangan, maut, Pagoh, treler, kereta