Penunggang EX5 mati terjatuh sendiri di PLUS Parit Buntar, polis cari saksi


  • 112
  • Sabtu, 10 Sep 2022

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat. — PDRM

POLIS meminta orang awam yang mempunyai maklumat kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Kilometer 184.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Alor Pongsu, Parit Buntar, Perak pada pagi Sabtu, supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, insiden sekitar pukul 6.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Syafiq Abu Bakar, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, motosikal jenis Honda EX5 ditunggangi mangsa telah hilang kawalan menyebabkannya terjatuh di atas jalan.

"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Ketika kejadian, lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Cameron Highland hendak balik ke rumah di Bandar Baharu, Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Katanya, buat masa ini punca kemalangan dipercayai disebabkan terjatuh sendiri dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita mohon saksi bebas yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Hanafi Hanapi di talian 013-6200564 untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram