Lori muatan cat masuk laluan bertentangan punca pemandu maut, 7 polis parah nahas PLUS dekat Rembau


  • 112
  • Khamis, 22 Sep 2022

Pemandu lori maut dan tujuh anggota polis parah dalam nahas membabitkan empat kenderaan di PLUS berhampiran Rembau, Negeri Sembilan pada Khamis. — Facebook/Khidmat Malaysia

LORI muatan tong cat hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan dipercayai punca kemalangan di Kilometer 225 Lebuhraya utara-selatan (PLUS) arah utara di Rembau, Negeri Sembilan pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, pemandu lori dikenali sebagai Mohd Zaki Taib, 47 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan maut dilokasi.

"Kejadian kira-kira pukul 3.40 petang membabitkan kenderaan jenis lori Hino dipandu mangsa, sebuah van pasukan polis dinaiki tujuh anggota dari Johor Baharu Utara, dan dua kereta jenis Toyota Camry serta Perodua Alza.

"Berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Senawang menghala ke Ayer Keroh, Melaka memandu di lorong tengah sebelum mengubah laluan dan hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa telah ubah haluan ke lorong laju dan menghimpit kereta Toyota Camry dan Perodua Alza lalu melanggar besi penghadang lebuh raya di bahagian tengah sebelum masuk ke laluan bertentangan merempuh van pasukan polis yang bergerak dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang.

"Akibat kemalangan, pemandu lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, tujuh anggota polis berkenaan mengalami kecederaan parah, dua individu tidak cedera dan lain-lain mangsa daripada dua kenderaan berkenaan mengalami kecederaan ringan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Rembau dan proses bedah siasat akan dijalankan pada Jumaat di Unit Forensik Hospital Rembau.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Jalan (APJ) 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram