Zul Ariffin mengaku bersalah muat naik kandungan sumbang di Instagram


Zul didakwa membuat hantaran sumbang di laman Instagram miliknya pada 18 Mac lalu.

PELAKON terkenal, Zul Ariffin mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik kandungan sumbang di laman sosial miliknya, di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor pada Selasa.

Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Noorhisham Mohd Jaafar.

Ketika prosiding, aktor Tarik Aku Ke Syurga itu yang memakai sut kelabu kelihatan tenang ketika berada di kandang pesalah.

"Iya. Saya mengaku bersalah," katanya.

Lantaran itu, tertuduh diperintahkan untuk membayar denda sebanyak RM30,000.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara sembilan bulan penjara tambahan sekiranya gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, pelakon itu membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Zul Ariffin, 36, mengaku secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang bersifat sumbang dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Hantaran video itu dilihat di Tower 1 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya pada 21 Mac.

Kesalahan itu dilakukan Zul Ariffin pada 18 Mac 2022.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamed Fadzil mengikut Seksyen 223(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Zul Ariffin yang diwakili peguam Sivaram Prasad memohon mahkamah meringankan hukuman, atas alasan anak guamnya telah memadamkan kandungan tersebut serta tidak mengulangi perbuatan itu selepas kejadian.

Sementara itu, Fazril dalam hujahan pemberatan hukuman mencadangkan hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap Zul Ariffin.

"Suatu hukuman yang mencerminkan ketegasan kerajaan berhubung kandungan internet ini perlu diambil kira mahkamah dalam membuat keputusan agar menjadi pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh malah masyarakat di luar sana," katanya.

Sebelum ini, nama Zul Ariffin menjadi trending di laman Twitter gara-gara berkongsi satu klip video ‘panas’ sebuah drama terbaharunya yang akan ditayangkan tidak lama lagi.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram