PELAKON popular, Zul Ariffin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas membuat hantaran Instagram yang menyalahi undang-undang.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter, memaklumkan adegan seperti dipaparkan dalam hantaran itu tidak akan dibenarkan untuk tayangan umum.
"Proses undang-undang berjalan. Yang pasti adegan seperti yang dipapar itu tidak akan dibenarkan tayang, sama ada bulan Ramadan atau bulan yang lain. Jagalah nilai dan budaya,” katanya.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merujuk kepada penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pelakon itu mengundang kontroversi selepas memuat naik video yang memaparkan ‘teaser’ adegan panas daripada drama ‘Perempuan itu’ sebelum bertindak memadam hantaran tersebut dan membuat permohonan maaf di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram