Finas pandang serius isu adegan 'panas' dalam drama dan filem


  • Primer
  • Khamis, 24 Mac 2022

ADEGAN keterlaluan tidak sewajarnya berlaku dan Finas memandang serius isu tersebut. — Facebook

VIDEO adegan keterlaluan dalam drama bersiri yang bakal ditayangkan di saluran televisyen swasta, yang dimuat naik di portal Twitter oleh seorang pelakon tempatan baru-baru ini, dilihat sebagai tidak sensitif terhadap budaya kesopanan dan kesusilaan diamalkan rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof Dr Md Nasir Ibrahim dalam kenyataan pada Rabu berkata, sebarang penggambaran sebegini, tidak sewajarnya berlaku dan Finas memandang serius isu tersebut.

"Finas ingin menekankan penguatkuasaan tapisan kandungan filem dan televisyen di negara adalah bukan di bawah bidang kuasa Finas, namun selaku badan yang dipertanggungjawabkan dalam pengeluaran lesen penerbitan filem tempatan, Finas akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Perlesenan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (1983), Peraturan 6(2).

"Finas boleh membatalkan sesuatu lesen jika pemegang lesen itu telah disabitkan atas suatu kesalahan berkenaan dengan kecurangan, fraud atau keburukan akhlak,” katanya.

Md Nasir berkata, sebagai badan peneraju industri perfileman negara, Finas menyeru para penggiat industri kreatif lebih berhati-hati dalam menghasilkan karya.

Terdahulu, pelakon Zul Ariffin berkongsi satu klip pendek memaparkan adegan 'panas' bersama aktres Siti Hariesa dalam drama Perempuan Itu yang mencetuskan rasa tidak senang rakyat Malaysia.

Perkongsian di Instasory milik pelakon berbadan sasa itu turut mendapat respons daripada pelbagai agensi termasuk Jakim dan SKMM yang memandang serius isu berkenaan.

Zul Ariffin bagaimanapun telah membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Instagram miliknya dan memaklumkan dia telah tampil ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya bagi membantu siasatan berhubung isu itu.

Pelakon berusia 36 tahun itu memaklumkan perkara berkenaan selepas dipercayai selesai berurusan di Suruhanjaya berkenaan pada Selasa.

"Hari ini (Selasa), Saya sudah memberi kerjasama penuh kepada pihak SKMM berhubung siasatan berkaitan penerbitan drama bertajuk 'Perempuan Itu'," tulisnya ringkas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram