BUAT hal lagi! Itulah dia Zul Ariffin tak habis-habis dengan kontroversi. Apakah sebenarnya yang mahu dikejar pelakon ini? Adakah dia dahagakan populariti murahan dan perhatian umum?
Sebagai pemain industri yang lebih 14 tahun terlibat dalam dunia lakonan, meraih perhatian dengan cara tidak bermoral ialah satu perbuatan yang tidak boleh dipandang mudah.
Pelakon seperti ini tidak harus diberi muka. Ia bukan sekali tapi sudah banyak kali.
Sebagai pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia 31 (FFM31) Zul, 36, seharusnya menunjukkan contoh terbaik kerana bakatnya itu mendapat pengiktirafan industri seni.
Antara perkongsian foto yang menampakkan celah kangkang mendapat pelbagai reaksi netizen.
Ya benar, Zul ada bakat namun kurang kesedaran mengenai kepentingan menjaga moral merupakan satu kelemahan yang tidak mudah untuk dimaafkan.
Memiliki pengikut yang ramai, dia seharusnya menjadi contoh terbaik dalam kalangan peminatnya dan bukan mempamerkan keburukan diri.
Lebih memalukan, perkongsian di media sosialnya mengenai sedutan filem yang belum ditapis dengan babak kurang sopan untuk drama ‘Perempuan Itu’ turut ditegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
TV3 yang bakal menayangkan drama itu pada Ramadan nanti turut kesal dengan perkongsian berkenaan selain dikatakan adegan tersebut tidak mendapat kelulusan mereka untuk diterbitkan.
Justeru semua pihak seperti stesen televisyen, penerbit filem dan drama haruslah mengkaji adakah individu seperti ini perlu diberi ruang untuk berkarya atas sifat moralnya itu yang gagal menjadi contoh terbaik kepada audiens.
Jika dilihat beberapa siri kontroversi Zul Ariffin, kebanyakannya ialah hal berkaitan tarikan seksual. Majoriti menyenaraikan 7 kontroversi itu.
Gambar kemaluan lelaki di InstaStory
Gambar kontroversi itu dikongsi menerusi fungsi Instastory sekitar April 2018.
Masih ingatkah lagi isu ini? Zul Ariffin mencetuskan buah mulut warganet selepas dia dikatakan memuat naik foto alat sulit lelaki di akaun Instagramnya?
Gambar itu dikongsi menerusi fungsi InstaStory sekitar April 2018, namun ia dipadamkan dua minit selepas foto kemaluan itu dimuat naik.
Bagaimanapun, kelab peminat rasmi Zul Ariffin FC kemudian menjelaskan bahawa tindakan itu bukan dilakukan oleh pelakon pujaan mereka sebaliknya akaun Instagram beliau telah digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Betulkan seluar terlondeh
Foto Zul Ariffin membetulkan seluar menjadi bualan hangat peminat terutama golongan wanita.
Selepas dikatakan berkongsi gambar kemaluan, Zul Ariffin sekali lagi mencetuskan kontroversi pada Jun 2018 apabila dia memuat naik foto menunjukkan badan sasanya sambil membetulkan seluar pendek yang hampir terlondeh.
Dengan wajah tersenyum, foto berkenaan menjadi bualan hangat peminat terutama golongan wanita yang rata-ratanya 'terliur' dengan gambarnya. Apakah motif penyiaran foto itu ya Zul?
Berpelukan dengan gadis Ukraine
Beberapa keping gambar Zul Ariffiin dan gadis Ukraine bercuti bersama di Phuket, Thailand tersebar di media sosial.
Foto Zul Ariffin berpelukan mesra bersama seorang gadis dipercayai wanita Ukraine mencetuskan kontroversi selepas beberapa keping gambar mereka bercuti bersama di Phuket, Thailand tersebar di media sosial.
Gadis Ukraine tersebut dipercayai turut bercuti bersama Zul Ariffin setelah terlihat beberapa keping foto di IG Story pemilik akaun hlembotska22.
Tersebar video lucah mirip Zul Ariffin
Sebuah klip video lucah yang memaparkan seorang lelaki dikatakan mirip Zul Ariffin tular di media sosial.
Nama Zul Ariffin kembali menjadi bualan hangat peminat apabila sebuah klip video lucah yang memaparkan seorang lelaki yang boleh dikatakan mirip dirinya tular di media sosial.
Dalam video berdurasi 45 saat itu, lelaki berkenaan dilihat sedang bersandar di atas katil sambil merokok sebelum mula mengalihkan pandangan kamera daripada bahagian muka ke arah alat sulitnya.
Susulan dari tularnya video itu sekitar Disember 2019, Zul didapati telah menyahaktifkan akaun miliknya selepas ramai yang menyerang akaun media sosialnya untuk mendapatkan penjelasan.
Kongsi video dan foto sedang mandi
Zul Ariffin berkongsi foto sedang mandi berlatarbelakangkan pemandangan indah di sebuah pusat percutian.
Pada April 2021, Zul berkongsi foto sedang mandi berlatarbelakangkan pemandangan indah di sebuah pusat percutian.
Terdapat juga netizen turut melahirkan rasa kurang senang dengan penyiaran foto itu dan memintanya agar tidak memuat naik lagi imej sedemikian kerana iman mereka tidak kuat.
Pakai seluar pendek hingga nampak urat paha
Gambar Zul Ariffin sedang melakukan aktiviti bersukan yang menampakkan urat-urat melingkar di pahanya menjadi bualan hangat di media sosial.
Pada November 2021, Zul menjadi tumpuan selepas dia berkongsi gambar sedang melakukan aktiviti bersukan yang menampakkan urat-urat melingkar di pahanya.
Ramai netizen meninggalkan komen berhubung perkara itu termasuklah aktor, Shah Iskandar yang kagum dan seakan-akan tidak percaya apabila melihat bentuk paha rakan artisnya.
Adegan panas drama ‘Perempuan Itu’
Klip video adegan dalam drama Perempuan Itu mendapat kecaman hebat netizen.
Pada Jumaat lalu, satu klip video panas dipercayai adegan dalam drama ‘Perempuan Itu’ lakonan Zul dan Siti Hariesa mencetus kebimbangan ramai kerana memaparkan unsur-unsur kurang baik, tidak sesuai bagi siaran tontonan umat Islam khususnya untuk Ramadan nanti.
Perbuatan itu turut ditegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dan TV3 pula juga kesal dengan pelakon dan produksi terlibat.
Berdosa kongsi foto tidak tutup aurat
PU Amin berkongsi pandangan tentang hukum mendedahkan aurat dalam gambar.
Dalam satu perkongsian ilmu, Pencetus Ummah Amin (PU Amin) berkata, menjadi satu dosa apabila seorang individu berkongsi foto yang tidak menepati syariah Islam di laman sosial.
"Ia dosa yang bersifat berjemaah atau berkumpulan, maknanya orang dalam gambar dapat dosa, orang yang upload dapat dosa, orang yang tengok dan orang yang tak tegur pun dapat dosa.
"Selagi tak dibuang, dosa akan berterusan biarpun individu itu sudah meninggal dunia. Saham dosa juga ada untuk mereka yang terlibat.
"Islam tak larang bergambar, nak ambil gambar dari atas sampai bawah pun boleh. Cuma pastikan ia menepati ketetapan dan tiada sebarang unsur yang mengundang fitnah," ujarnya dalam satu laporan di mStar.
Dalam pada itu, beliau berkata, menjadi tanggungjawab seseorang untuk mengubah persekitaran laman sosial jika ia sering dipenuhi dengan posting berbaur maksiat dan mengundang dosa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram