'Hukum juga penjual produk suami isteri, bukan setakat Zul Ariffin'


ANTARA salah satu produk suami isteri yang dijual di pasaran. — Facebook

SUSULAN kontroversi memuat naik video 'teaser' drama terbaharunya di media sosial, pelakon popular, Zul Ariffin bakal disiasat.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter pada Selasa, Zul Ariffin akan disiasat di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merujuk kepada penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Menjengah komen di media sosial, seorang pengguna Facebook, Khairul Hakimin Muhammad berkata, tindakan seumpama itu bukan sahaja perlu dikenakan terhadap pelakon malahan juga penjual 'produk suami isteri'.

"Bagaimana pula dengan penjual seperti itu yang kekal bercakap, membuat demonstrasi produk, menunjukkan, melucah serta memberi respons tidak senonoh kepada penonton di media sosial mereka?

"Siap berpakaian tidak senonoh, malahan berjoget dan menunjukkan aksi tidak baik.

"Bercakap dengan bahasa tidak baik, mencarut dan mengeluarkan kata-kata lucah," katanya.

Ujarnya lagi, perkara itu sudah berkali-kali ditegur namun tiada sebarang tindakan dilaksanakan oleh kerajaan.

"Mereka (penjual) masih merasa hebat berlegar di sana sini. Namun apabila ditegur, mereka akan cakap kita ini nak menumpang populariti dia.

"Saya amat berharap mereka ini juga disiasat dan kita semua dapat hentikan semua normalisasi Barat yang entah apa-apa ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram