Jangan siarkan drama Perempuan itu — Jakim


  • Primer
  • Isnin, 21 Mac 2022

ZUL Ariffin mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video memaparkan beberapa babak panas dalam drama Perempuan Itu. — Facebook

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil perhatian serius isu video sedutan drama 'Perempuan Itu' yang tular di media sosial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Jakim telah menyatakan pendirian dan pandangan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya tindakan tegas dapat diambil segera.

Berdasarkan penelitian, jabatan ini menentang keras penyiaran program seumpama ini yang jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam.

“Ini kerana dengan aksi dan adegan tidak bermoral yang melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak,” katanya pada Isnin.

Media melaporkan pelakon popular, Zul Ariffin mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video memaparkan beberapa babak panas dalam drama terbaharu lakonannya berjudul Perempuan Itu di Instagram, pada Sabtu.

Hantaran berkenaan mendapat kecaman hebat daripada netizen bahkan turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad yang menyifatkan ia sebagai melampaui batas.

Mengulas lanjut, Hakimah berkata, drama seumpama itu tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi di bulan Ramadan.

Tambahnya, Jakim menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan para pelakon agar lebih cakna dan mengelakkan isu-isu seumpama ini.

Jelasnya, ia menyebabkan perkara tersebut akan menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat khususnya golongan remaja dengan budaya dan norma yang bersalahan dengan ajaran Islam serta amalan murni masyarakat Malaysia.

“Jakim tidak akan berkompromi dengan isu-isu seumpama ini dan akan sentiasa bersama dengan semua pihak berkuasa berkenaan bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar ianya tidak berulang,” ujarnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram