SIKAP kebanyakan individu di negara ini yang tidak merancang kewangan termasuk boros dalam perbelanjaan bakal menyebabkan kehidupan pada hari tua mereka terseksa.
Malah, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP), Nurhisham Hussein mendedahkan, individu yang bersara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang memerlukan simpanan sebanyak RM900,000 sehingga RM1 juta.
Bagi individu yang akan bersara di Kuala Lumpur dalam tempoh beberapa tahun lagi memerlukan sekurang-kurangnya RM600,000.
Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil atau empat peratus pencarum sahaja yang mampu mencapai jumlah tersebut. Berdasarkan kajian, sebanyak 56 peratus pencarum yang berusia 54 tahun mempunyai simpanan KWSP kurang RM50,000.
Konsep simpan hari tua
Pakar Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, tahap pengurusan kewangan yang masih lemah menjadi salah satu faktor utama dalam perkara ini.
Beliau mencadangkan agar kerajaan meningkatkan pendedahan terhadap pengurusan kewangan di semua peringkat terutamanya golongan muda yang baru memasuki dunia pekerjaan.
"Setiap golongan muda harus didedahkan dengan pengurusan kewangan yang betul agar memahami konsep penyimpanan untuk hari tua.
"Kita bimbang sekiranya golongan muda tidak mempunyai kewangan yang kukuh menjelang hari persaraan mereka. Menerusi pendedahan secara meluas, lebih ramai akan memahami dan menambah ilmu kewangan," katanya kepada Majoriti.
Orang ramai dinasihatkan agar menambah ilmu pengetahuan mengenai simpanan hari tua.
Wujudkan skim pinjaman peribadi
Kata Barjoyai, kerajaan juga boleh mewujudkan skim pinjaman peribadi untuk pencarum KWSP.
"Sebagai contoh, pinjaman sebanyak RM500,000 dan kerajaan memberi RM250,000 yang mana faedah pinjaman sebanyak dua peratus. Duit berkenaan tidak boleh diusik sehingga tempoh persaraan dan akan dipulangkan semula kepada kerajaan.
"Selain itu, kerajaan boleh mewujudkan skim simpanan menerusi potongan gaji pada setiap bulan. Misalnya, gaji sebanyak RM3,000 dan individu terbabit membuat simpanan sebanyak 25 peratus setiap bulan dan apabila mencapai usia 65 tahun, mereka mempunyai sejuta dalam simpanan mereka," katanya.
Disiplin
Tambah Barjoyai, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengeluarkan duit simpanan di KWSP kerana ia akan merencatkan perancangan kewangan pada hari tua.
"Disiplin merupakan aspek utama yang harus diambil kira dan belajar untuk menyimpan dalam apa jua keadaan.
"Sebelum ini, kita mengharungi detik sukar ketika wabak Covid-19 baru melanda menyebabkan ramai yang terjejas dan mengalami masalah kewangan yang sangat tinggi.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terlalu mengharap pada satu cara penyimpanan dan pelaburan, sebaliknya mengambil langkah proaktif dengan menyimpan di Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau mana-mana tempat yang menawarkan penyimpanan dan pelaburan secara sah," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram