CENGKAMAN Johor Darul Takzim (JDT) dalam arena bola sepak negara sememangnya tidak boleh dipersoalkan, terutama apabila mereka sekali lagi membuktikan kebolehan mereka di pentas Piala FA 2022.
Kemarau untuk menjulang trofi itu akhirnya menemui titik noktah apabila pasukan kendalian Hector Bidoglio mudah memadam cabaran yang cuba dilakukan Terengganu FC.
Selain itu, peluang untuk mereka muncul sebagai juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut kelihatan cerah dengan ketiadaan cabaran dan tekanan yang diberikan pasukan lawan.
Kehadiran barisan pemain tempatan dan import berkualiti dilihat sebagai punca kepada kemaraan luar biasa mereka di atas padang dengan persembahan yang memukau.
Antara pemain yang perlu diberi penghargaan ialah pemain kelahiran Argentina, Leandro Velazquez dengan kehadiran dan sumbangannya bersama JDT sememangnya menjadi punca di atas kejayaan mereka musim ini.
Empat gol dan empat bantuan gol yang dicipta pastinya dirasakan sukar untuk dicari galang ganti sekiranya pemain berjersi no. 10 itu tidak bersama Harimau Selatan musim depan.
Selain itu, kemampuannya untuk kekal tenang dalam perlawanan-perlawanan getir menjadi salah satu aset utama yang menempatkan namanya dalam hati penyokong.
Misalnya, hantaran yang dibuat kepada Arif Aiman semasa pentas akhir Piala FA menunjukkan kualiti yang dimiliki Leandro meskipun dengan kehadiran pemain pertahanan lawan.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong mengharapkan agar pemain berusia 33 tahun itu mengekalkan tempatnya dalam skuad JDT buat tempoh yang lebih lama.
Leandro dikatakan bakal meninggalkan JDT selepas beberapa tahun mencurahkan bakti. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, baru-baru ini, pemain itu dikatakan tidak akan menyambung kontraknya bersama JDT dalam usaha mendapatkan lebih banyak pengalaman bersama pasukan di dalam atau luar negara.
Perkara itu pastinya tidak akan mendatangkan tekanan buat pihak pengurusan apabila kestabilan kewangan mereka ditampilkan semasa jendela perpindahan setiap musim.
Bagaimanapun, bagi penyokong pula, mereka masih mengharapkan agar khidmat dan sumbangan Leandro dapat disaksikan buat beberapa musim lagi apabila dia dilabel sebagai salah satu tonggak pasukan.
Bagi seorang peminat bola sepak tempatan, Kay Khan, dia tidak teragak-agak untuk memberi tujuh alasan dan sebab yang kukuh supaya pemain itu terus kekal bersama JDT musim depan.
"Leandro, tolonglah kekal bersama pasukan kerana pasukan ini masih memerlukan Leandro kerana awak mempunyai semangat untuk mendapatkan bola semula sepanjang 90 minit permainan dan awak adalah enjin utama buat barisan serangan.
"Awak juga mempunyai cara yang bijak untuk menguruskan permainan serta bijak dalam menyelamatkan pasukan seperti dalam keadaan yang tegang atau menghadapi serangan balas.
Selain itu, Leandro juga dilihat sebagai pemain sesuai dengan pendekatan formasi dan taktikal yang diterapkan staf kejurulatihan menerusi sumbangan dan keazamannya.
"Dia juga seorang yang jarang mengalami kecederaan dan saya tahu yang Leandro ialah gandingan mantap di tengah padang bersama Natxo Insa dan Afiq Fazail. Leandro juga merupakan seorang yang pintar untuk mengganggu struktur pasukan lawan," katanya.
Perkara itu turut dipersetujui beberapa penyokong lain seperti Akula AG yang kagum akan kemampuan Leandro untuk memberi tekanan secara fizikal dan mental kepada pemain lawan.
"Aku paling suka dia kerana dia sering berjaya mengganggu pemain pasukan lain tetapi, lebih-lebih lagi, kenakalannya juga ditonjolkan kepada penyokong di luar padang," katanya.
Pak Cek juga menyokong kehadirannya dikekalkan apabila sumbangannya daripada pelbagai aspek menjadi punca di atas kejayaan yang dicatatkan Harimau Selatan.
"Memang diperlukan lagi khidmatnya kerana gerak-geri permainannya berada di tahap yang tertinggi dan mempunyai kelas yang tersendiri. Jadi, rugi jika dia tidak kekal," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram