Tingkatkan keselamatan penggiat seni, lebih 5,000 ahli Profima berstatus pencarum Perkeso


  • Primer
  • Rabu, 21 Sep 2022

Datuk Seri Mohammed Azman(kiri) bersalaman dengan Mohd. Khalil (kanan) sebaik selesai menandatangani MoU di Wisma Perkeso pada Rabu.

PENGGIAT seni kini boleh menarik nafas lega selepas Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) melancarkan Kempen Mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur pada Rabu.

Kempen tersebut bertujuan memberi perlindungan keselamatan sosial kepada penerbit, pelakon, jurukamera dan tenaga kerja di belakang tabir industri perfileman negara.

Difahamkan, sebelum ini, kru produksi filem mempunyai insurans kelompok sejak tahun 2015 namun pada waktu itu liputan perlindungan keselamatan atas pilihan individu.

Setiausaha Agung Profima, Zaidatul Shima Hanafiah berkata, sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, individu terbabit hanya bergantung kepada insurans peribadi yang sedikit membebankan.

"Sebelum kempen ini dilancarkan, kita juga ada menerima kes kemalangan serta kematian membabitkan penggiat seni dan terdapat sesetengah kes individu terbabit tidak mempunyai insurans peribadi.

"Bagi menjaga keselamatan penggiat seni, Profima meningkatkan perlindungan keselamatan dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani, kedua-dua organisasi bersepakat bekerjasama memastikan ahli mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS Perkeso," katanya pada Rabu.

Katanya, menerusi inisiatif ini, kerajaan menyediakan pembiayaan padanan caruman kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang layak.

"Mereka hanya perlu membayar 20 peratus atau RM46.60 sahaja daripada keseluruhan jumlah caruman Pelan 2 SKSPS iaitu sebanyak RM232.80 bagi tempoh perlindungan selama setahun.

"Bayaran caruman selebihnya iaitu 80 peratus atau sebanyak RM186.20 pula akan disumbangkan kerajaan," jelasnya sambil menambah antara faedah yang akan diperoleh pencarum adalah perubatan, khariat kematian, hilang upaya kekal dan pemulihan jasmani.

Majlis pemeteraian MoU dan pelancaran Kempen Mencarum SKSPS Perkeso tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim; Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dan Presiden Profima, Mohd. Khalil Salleh.

Sehingga kini, lebih 5,000 penggiat seni telah berdaftar dan secara automatik mencarum dengan Perkeso dengan jumlah sasarannya 20,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram