Kes pecah rumah, samun bersenjata semakin kerap di Putrajaya — Polis


  • 112
  • Selasa, 20 Sep 2022

Yahaya Othman ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.

KES pecah rumah dan samun yang dilaporkan semakin kerap berlaku di Putrajaya mencetuskan kebimbangan penduduk di kawasan tersebut.

Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya mengarahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menjalankan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti jenayah termasuk mengesan penjenayah tersebut.

"Kita akan meningkatkan rondaan di sekitar Putrajaya selepas terdapat peningkatan kes pecah rumah dan samun yang dilaporkan berlaku sejak akhir-akhir ini.

"Saya juga meminta Ketua Polis Daerah membuat operasi khas termasuk mengesan beberapa kawasan di pinggir bandar Putrajaya dipercayai menjadi sasaran penjenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan, polis giat memburu tiga lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan samun bersenjata sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM41,000 di sebuah rumah di Presint 11, Putrajaya pada 14 September lalu.

Difahamkan, kumpulan sama disyaki sekali lagi memecah masuk sebuah rumah bersenjatakan parang dan kayu di Presint 9, Putrajaya ketika penghuni sedang tidur.

Suspek juga bertindak kejam dengan mengikat mangsa dengan cable tie sebelum melarikan dua utas gelang, rantai leher dan wang tunai sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM5,000.

Pada masa sama, Yahaya Othman mengesahkan penahanan dua lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kejadian tersebut namun siasatan masih di peringkat awal dan sebarang maklumat akan diumumkan dalam masa terdekat.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram