Niat 2 beradik mahu main futsal bertukar tragedi


  • 112
  • Rabu, 21 Sep 2022

Mangsa meninggal dunia dilokasi sementara abangnya parah dalam kemalangan tersebut.

SEORANG remaja lelaki maut manakala abangnya parah dalam kemalangan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada Selasa.

Kemalangan dilaporkan berlaku pada pukul 10.10 malam selepas motosikal jenis Honda Future yang ditunggang remaja berkenaan terbabas dan melanggar batu penghadang jalan.

Difahamkan, kedua-dua beradik terbabit dalam perjalanan dari rumah sekitar Subang Perdana menuju ke Petaling Jaya untuk bermain futsal.

WhatsApp Image 2022-09-21 at 5.30.00 PM (2)

Keadaan motosikal jenis Honda Future yang dinaiki dua beradik selepas terbabit kemalangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kemalangan tersebut menyebabkan mangsa yang berusia 17 tahun maut dilokasi.

"Sementara abang mangsa yang berusia 19 tahun patah tangan kanan dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Mohamad Fakhruddin, orang ramai yang melihat atau berada di lokasi diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram