Taktik licik tokan dadah terbongkar, 4 lelaki diberkas 


  • 112
  • Rabu, 21 Sep 2022

Antara dadah dirampas dalam Ops Tobias yang membawa kepada penahanan empat lelaki pada Isnin.

SEPANDAI-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itu ungkapan yang sesuai digunakan terhadap empat tokan dadah yang diberkas dalam Ops Tobias sekitar Kuala Lumpur pada Isnin.

Tindakan licik suspek yang hanya menjual dadah kepada individu tertentu berjaya dihidu pihak berkuasa selepas keempat-empat mereka ditahan ketika menghantar dadah kepada pelanggan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

"Operasi dilakukan pada pukul 7.25 malam dan berjaya merampas 5.4 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM193,680 dipercayai untuk pasaran di sekitar Kuala Lumpur.

"Polis turut menahan empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 43 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, suspek dikesan aktif sejak empat bulan lalu dan hanya menjual dadah kepada individu dikenali sahaja bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

"Siasatan mendapati, bekalan dadah diperolehi di utara tanah air sebelum dijual kepada pengguna di ibu negara.

"Kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca utama pendapatan.

"Tiga daripada mereka pernah ditahan beberapa kali sebelum ini termasuk mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram