Taktik sorok dalam peket teh cina, sindiket dadah bernilai hampir RM9 juta tumpas


  • 112
  • Selasa, 20 Sep 2022

Antara dadah yang dirampas dalam lima serbuan yang dijalankan JSJN Bukit Aman dan Kuala Lumpur pada Ahad.

POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM8.53 juta dalam Ops Mojave di sekitar Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bersama JSJN Bukit Aman.

"Menerusi lima serbuan tersebut, polis berjaya merampas 236 kilogram (kg) dadah dibungkus dalam bungkusan minuman teh cina termasuk menahan tujuh lelaki tempatan berusia 24 hingga 47 tahun.

"Serbuan dilakukan di Bukit Mertajam, Penang; Batu Gajah; Tapah, Perak; Ulu Bernam, Selangor dan ibu negara," katanya dalam sidang media pada Selasa.

WhatsApp Image 2022-09-20 at 4.07.32 PM (1)

Datuk Yahaya Othman menunjukkan antara kenderaan yang disita dalam serbuan terbabit.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati, sindiket terbabit mendapatkan bekalan dadah di utara tanah air yang disyaki diseludup dari negara jiran sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua suspek ditahan dipercayai berperanan sebagai penerima dan pengedar dadah serta aktif sejak Julai tahun ini. Kebanyakkan mereka ini adalah penganggur namun ada antara mereka yang bekerja sebagai pembantu kedai dan bekerja sendiri untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Semakan mendapati, empat suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dan lima daripada mereka juga positif dadah," jelasnya.

Katanya, polis turut menyita empat buah kenderaan jenis Toyota Alphard, Ford Ranger, Perodua Axia dan Perodua Bezza termasuk merampas barangan kemas.

"Keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan RM8.96 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram