Tikam bekas teman wanita pada hari kemerdekaan, pemandu e-hailing mengaku tak bersalah


Tertuduh (baju merah) mengaku tidak bersalah menikam teman wanitanya pada 31 Ogos lalu.

SEORANG pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan menikam bekas teman wanitanya menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan parah pada Ogos lalu.

Mohamad Noor Faiz Md Hairi, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu dituduh menikam dengan pisau yang boleh menyebabkan kematian terhadap Sheery Hazmah Yasib, 34.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan denda jika menyebabkan cedera pada mana-mana orang, boleh dipenjara maksimum 20 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa menggunakan sebilah pisau yang boleh menyebabkan kematian dan dia didakwa mengikut Seksyen 326 kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan di Pangsapuri Meridin Bayview, Taman Sierra Perdana, Masai, pada 12.57 tengah hari, 31 Ogos lepas.

Mahkamah membenarkan Mohamad Noor Faiz diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan, diarah melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Siti Noraida menetapkan 6 November depan untuk pengurusan kes termasuk lantikan peguam, serahan dokumen serta laporan perubatan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram