Kecoh gaduh guna besi, kayu di Bestari Jaya, sekumpulan lelaki dalam radar polis


  • Tular
  • Isnin, 05 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan sekumpulan lelaki membuat rusuhan di sebuah jalan raya berhampiran Taman Melor, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

SEKUMPULAN lelaki menimbulkan kekecohan apabila mereka dipercayai membuat rusuhan dan bergaduh satu sama lain di sebuah kawasan perumahan sekitar Taman Melor, Bestari Jaya, Kuala Selangor di Selangor.

Bersenjatakan batang besi dan kayu, sebuah kenderaan menjadi mangsa keganasan apabila salah seorang suspek dilihat memecahkan cermin kereta berkenaan sebelum pemandunya melarikan diri.

Disaksikan oleh beberapa penduduk yang berada di sekitar kawasan, rakaman video itu tular di laman media Facebook.

Difahamkan, kes tersebut kini di bawah siasatan pihak polis dan segala maklumat lanjut masih belum diketahui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, polis memandang serius perlakuan itu dan akan melakukan tangkapan sekiranya menemui individu terbabit dalam kejadian berkenaan.

Menurut beliau, saksi kejadian atau orang ramai boleh tampil memaklumkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Sebarang maklumat mengenai saksi kejadian diminta untuk hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Fatmaliani di talian 013-6716323 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan kecaman kepada sekumpulan lelaki tersebut.

Khairul Nizam berkata, hukuman berat sepatutnya dikenakan terhadap suspek kes pergaduhan terbabit sebagai iktibar kepada semua pihak.

"Polis sepatutnya tangkap dan sumbat mereka ke dalam penjara, hukuman 20 tahun penjara dan 20 kali sebatan tanpa sebarang ikat jamin, baru la orang takut nak bergaduh," katanya.

"Gaduh pakai besi dan parang, kalau ada yang mati nak menyesal pun dah tak guna," kata Lia Farhan.

"Masa hari merdeka bukan main lagi semua bangga, tapi hari-hari ada sahaja kes gaduh macam ni, nampak sangat kita bukan dalam sebuah keluarga Malaysia yang bahagia," jelas Neezadeen.

Menurut laporan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana merusuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram