Baru kerja 2 minggu, orang gaji curi barangan bernilai RM14,000 di Meru


  • 112
  • Isnin, 05 Sep 2022

Usaha mengesan orang gaji warga Indonesia itu sedang giat dijalankan polis.

SEORANG wanita kerugian lebih RM14,000 apabila pelbagai barangan berharga miliknya dilarikan pembantu rumah dalam kejadian di sebuah rumah di Meru, Klang, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, suspek merupakan wanita warga Indonesia berumur 33 tahun.

"Mangsa membuat laporan polis sebaik sahaja menyedari kehilangan barangan miliknya itu kira-kira pukul 10.03 malam.

"Antara yang dilaporkan hilang adalah dua tabung syiling serta wang tunai bernilai RM10,000, sebuah komputer riba dan tablet pintar dengan nilai keseluruhan lebih RM14,000," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek baru bekerja dengan mangsa selama dua minggu.

Suspek dipercayai berasal daripada Jawa Timur, Indonesia dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram