'Tak malu ke?' mutu pengadilan Liga M jadi 'bahan' media antarabangsa


  • Podium
  • Isnin, 05 Sep 2022

JDT dan Selangor terikat 1-1 dalam perlawanan yang dicemari kontroversi dan terjahan keras. — Facebook/Selangor FC

ISU dan mutu pengadilan sering dijadikan bahan bualan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air apabila melihat keputusan yang dibuat pengadil perlawanan dalam saingan Liga Malaysia tidak konsisten dan kerap melakukan kesilapan.

Selain mudah memberikan sepakan percuma, penyokong juga sering mempersoalkan keputusan pengadil yang sering meniup wisel sehingga menyebabkan rentak permainan terencat.

Tidak cukup dengan itu, kegagalan penjaga garisan untuk memastikan pemain berada dalam keadaan 'offside' atau tidak turut mengundang kemarahan, lebih-lebih lagi sekiranya kecuaian itu mengundang kepada gol untuk pihak lawan.

Baru-baru ini, dalam pertembungan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan pasukan bergelut, Selangor FC, pelbagai pihak menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria.

Permainan sengit dan dipenuhi kekasaran itu berakhir apabila kedua-dua pasukan hanya mampu berpuas hati dengan satu mata selepas terikat dengan keputusan 1-1.

Bagi Harimau Selatan, mereka hanya mampu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti Bergson da Silva selepas pengadil melihat terdapat satu kekasaran yang dilakukan pemain Selangor FC, Yazan Al-Arab ke atas Arif Aiman Hanapi.

Namun, bagi beberapa pihak terutamanya penyokong, mereka melihat keputusan itu adalah satu tindakan berat sebelah apabila mengatakan Arif dijatuhkan dengan terlalu mudah.

Perkara ini turut mengundang perhatian media luar yang mengatakan keputusan pengadil perlawanan mampu dipersoalkan kerana memberikan penalti kepada pendahulu liga itu.

"Kelihatannya, pihak Malaysia Football League (MFL) boleh memperkenalkan sistem Video Assistant Referee (VAR) dalam perlawanan Liga Super," kata BBC Sport yang turut berkongsi video insiden berkenaan.

Meskipun ia juga menerima respons daripada penyokong bola sepak negara, perkara ini pasti menunjukkan kualiti pengadilan dalam negara yang masih lemah.

Bagi Emir Hj Ismail, perkara itu sepatutnya diberikan perhatian oleh MFL apabila liga-liga bola sepak antarabangsa boleh melihat kecuaian dan tahap pengadilan yang masih rendah dalam Liga Malaysia.

"Malu tak MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)? Sampai bila kamu semua hendak mendiamkan diri akan perkara ini tetapi pihak luar boleh mempertikaikan, malu lah sikit," katanya.

Arnold Nol pula berkata, pelbagai keputusan yang dibuat pengadil dalam perlawanan bola sepak tempatan menyebabkan keputusan tidak berada dalam keadaan adil dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Pengadil dan sistem pengadilan dalam Liga Malaysia antara yang paling teruk di dunia dengan pelbagai kesilapan yang berlaku dan terdapat juga beberapa kes offside," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram