'Takde rezeki', impian TRW lebur tapi fans puas hati


  • Podium
  • Isnin, 05 Sep 2022

Penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani (tengah) sebak selepas tewas di tangan Selangor FC II. — Facebook/TRW Kelantan FC

IMPIAN The Red Warriors (TRW) untuk menjulang trofi Liga Perdana malap selepas mereka gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri ketika berdepan Selangor FC II (SCFC II).

Dalam perlawanan pada Ahad, pasukan kendalian Rezal Zambery Yahya tewas dengan skor 1-2 kepada pasukan simpanan itu meskipun menunjukkan semangat juang tersendiri.

Walaupun masih berada di tangga kedua, Johor Darul Takzim (JDT) II mengatasi pasukan ini dengan perbezaan jaringan yang besar iaitu sebanyak sembilan gol selepas satu lagi kempen berharga.

Mempamerkan persembahan yang baik, penonton pasti kecewa dengan keputusan yang dicatatkan itu setelah SFC II berjaya menjaringkan dua gol sebelum akhir babak pertama.

Kelantan FC cuba bangkit pada separuh masa kedua menerusi jaringan Ghaffar Rahman namun pertahanan lawan beraksi cemerlang untuk menidakkan setiap percubaan yang dilakukan pasukan ini.

Keputusan ini menyebabkan TRW sukar untuk mencabar kejuaraan yang semakin hampir milik JDT II apabila perlu menjaringkan sekurang-kurangnya 10 gol ketika berdepan pasukan projek FAM-MSN selepas ini.

Selain itu, mereka juga perlu mengharapkan pendahulu liga itu gagal mengutip tiga penuh ketika berdepan Selangor FC menerusi perlawanan seterusnya.

302457105_7970571886346582_5437043424817480761_n

Sokongan yang tidak pernah putus daripada penyokong TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC

Selepas satu kempen yang menyerlah, reaksi penyokong terhadap kegagalan ini tidaklah terlalu mendesak apabila mereka merasakan usaha yang ditonjolkan pemain di atas padang telah membuktikan kebangkitan pasukan itu.

Penyokong juga menunjukkan penghargaan kepada pemilik TRW, Norizam Tukiman atau mesra dipanggil Zamsaham kerana memberi nafas baharu terhadap pasukan yang pernah berada di puncak Liga Super ini.

Peminat bola sepak tempatan, Syamii MMPM berkata, sokongan sepatutnya tidak pernah putus diberikan kepada kelab walaupun mereka tidak mampu untuk menyaingi harapan besar daripada penyokong.

"Jangan sorak ketika menang jika kita tidak mampu sokong ketika kalah. Harap Kelantan FC ada banyak perubahan untuk hadapi saingan Liga Super tahun depan.

"Saya percaya dengan setiap proses dan langkah yang dilakukan, perlahan-lahan bangkit dan semoga TRW maju dan berjaya semula satu hari nanti," katanya.

Hal yang sama turut dikongsikan Abe Pu yang merasakan pujian seharusnya dilemparkan kepada pihak pengurusan selepas berjaya membawa pasukan ini ke Liga Super musim depan.

"Kita sebagai penyokong seharusnya sentiasa menyokong perubahan yang dibawa Zamsaham dan janganlah kita hanya menyokong ketika mereka mencatatkan kemenangan," katanya.

Hafiz Badd juga bangga akan kejayaan musim ini dan berharap agar sokongan dan semangat yang sama mampu dikekalkan lebih-lebih lagi apabila mereka berada dalam saingan Liga Super tahun depan.

"Kita sebagai penyokong memang menyayangi pasukan dari Kelantan ini, apa-apa pun pasukan ini dah buat yang terbaik dan saya akan tetap menyokong dan memberi semangat. Gomo Klate Gomo," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram