Kanak-kanak tercampak dirempuh motosikal, ibu bapa dipersalahkan


  • Tular
  • Isnin, 05 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki dilanggar motosikal ketika sedang melintas jalan.

SUASANA tenang di depan sebuah sekolah nyaris bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki hampir maut dilanggar sebuah motosikal ketika sedang melintas jalan.

Kemalangan itu yang berlaku di depan Sekolah Kebangsaan Kampung Cheras Baharu, Kuala Lumpur, sempat dirakamkan menerusi kamera papan pemuka atau dashcam sebuah kereta dari arah belakang.

Pelanggaran itu mengakibatkan kanak-kanak tersebut tercampak ke tengah-tengah jalan dan kemudiannya menangis kesakitan.

Menurut pemandu Grab tersebut yang dikenali dengan nama Seorang Pemerhati, dia turut meluahkan rasa kesal kerana menjadi penghalang pemandangan penunggang motosikal tersebut.

"Saya berasa sangat bersalah kerana menjadi titik buta kepada penunggang motosikal itu dan telah menyebabkan kemalangan kanak-kanak tersebut.

"Niat saya berhenti di situ kerana ingin menurunkan penumpang dengan selamat dan tak perlu melintas jalan, tapi lain pula yang terjadi," katanya.

Meskipun tiada kecederaan serius dilaporkan, kes itu menerima pelbagai pandangan daripada netizen di laman Facebook yang rata-ratanya menyalahkan ibu bapa kerana tidak bertanggungjawab.

Acit Lah berkata, sikap segelintir ibu bapa yang enggan memimpin tangan anak-anak ketika melintas menjadi punca kemalangan seperti itu.

"Kalau ibu bapa pimpin tangan anak elok-elok benda tu tak akan terjadi, kalau kata tak cukup tangan boleh minta anak untuk pegang baju ataupun seluar sebagai ganti.

"Kalau dah kena langgar tak boleh nak buat apa, kecuaian sendiri orang lain yang jadi mangsa," katanya.

"Motor tu perlahan dan tak bersalah, ibu bapa kena la pimpin tangan anak-anak, nasib baik motor yang langgar bukannya kereta," kata Akmal Razali.

Selain itu, beberapa netizen turut meletakkan kesalahan kepada pemilik video dashcam kerana menghalang pandangan penunggang motosikal tersebut.

"Motosikal tu tak bersalah, yang salah di sini adalah pemilik dashcam kerana menjadi titik buta di tengah jalan," kata Zairul Liza.

Mohad Khailil menambah, "Kebanyakan pemandu Grab ikut suka berhentikan penumpang di tengah jalan dan sering menyebabkan kemalangan serta kesesakan jalan raya." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram