OctaFX: Jangan cepat terpedaya pulangan pelaburan lumayan — Cikgu Saham


  • Primer
  • Khamis, 01 Sep 2022

Octa FX kini disenaraikan di bawah amaran kewangan pengguna oleh BNM.

"JANGAN terlalu ghairah nak melabur kerana mahukan pulangan berlipat kali ganda yang akhirnya akan membuat diri sendiri kerugian".

Itu pesanan Zuraida Mohd. Zakaria atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Saham yang mempunyai pengalaman selama berpuluh tahun dalam dunia pelaburan saham.

Menurut Zuraida, sepanjang pengalamannya dalam dunia pelaburan, dia belum pernah melihat individu yang betul-betul kaya dengan menggunakan pelaburan forex.

"Ada anak didik saya yang tanya berkenaan keinginan mereka untuk melabur forex. Tetapi saya pesan supaya jangan terpengaruh dengan janji pulangan tinggi yang diberitahu.

"Tetapi ada juga yang masih tak percaya dan teruskan pelaburan forex. Sudahnya bila saya tanya semula perkembangan mereka, terus mengaku sudah rugi," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp-Image-2020-04-16-at-16.10.19

Buku yang dihasilkan Zuraida berkenaan dengan dunia saham.

Menurut Zuraida, apa sahaja pelaburan memang ada risiko seperti pelaburan hartanah, pelabuhan saham, unit trust dan lain-lain.

Jelasnya, tiada sebarang jaminan daripada sesiapa termasuk kerajaan yang kita akan untung melainkan menerusi Amanah Saham Berhad (ASB) atau Tabung Haji.

"Tapi kena tahu yang dividen yang diberikan tidak banyak. Cuma dijamin yang duit itu tidak akan hilang," katanya.

Tetapi kalau ada yang nak sertai forex, kata Zuraida, dia memang tidak sarankan.

"Macam OctaFX, saya tak tahu secara teliti pelaburan yang dilakukannya. Tetapi jika sama dengan forex, memang saya tidak sarankan untuk ikut serta. Jangan buat pelaburan dengan benda yang kita tak tahu.

"Jangan mudah terpedaya dengan apa sahaja pulangan lumayan yang dijanjikan. Kalau nak buat pelaburan, pastikan tanya sesiapa yang berpengetahuan dahulu.

"Kalau nak buat pelaburan juga, mulakan dengan tawaran awam permulaan (IPO) sebab itu cara pelaburan yang paling mudah.

"Bila dah yakin dan buat untung, barulah kita mulakan pelaburan di pasaran saham terbuka atau masuk kelas saham yang ada untuk dapatkan ilmu dalam pelaburan," katanya.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) menyenaraikan platform dagangan OctaFX di bawah senarai amaran kewangan pengguna.

Senarai amaran kewangan pengguna tersebut turut meletakkan OctaFX termasuk laman media sosial platform perdaganan itu seperti YouTube, Twitter, Facebook, LindkeIn, Instagram dan Telegram.

BNM memaklumkan senarai itu berfungsi sebagai panduan bagi meningkatkan kesedaran tentang entiti atau skim yang mampu disalah tafsir atau dilaporkan sebagai entiti melibatkan penipuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram