Nabi, jin mohon petunjuk ALLAH guna ungkapan sama


  • Mukmin
  • Khamis, 01 Sep 2022

Umat Islam disarankan untuk membaca surah al-Kahfi pada setiap hari Jumaat. — Gambar hiasan/Agensi

KISAH Ashabul Kahfi merupakan suatu kisah benar berkaitan tujuh orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua.

Menerusi ayat sembilan hingga 26 dari surah al-Kahfi, diceritakan kisah pemuda-pemuda beriman tersebut melarikan diri ke sebuah gua dan bagaimana ALLAH SWT menidurkan mereka selama 309 tahun.

Secara logik akal, kejadian tersebut sudah tentu kelihatan pelik, luar biasa dan menakjubkan, yang mana tiada manusia yang dapat menjelaskan tentang kewujudan manusia yang boleh tidur sehingga ratusan tahun tanpa makan dan minum.

Namun, bagi umat Islam yang beriman dan meyakini ALLAH, tiada yang mustahil jika Dia mengkehendakinya perkara tersebut berlaku.

Lantaran itu, Dr Ahmad Sanusi Azmi menyarankan umat Islam untuk membaca surah al-Kahfi sebagai amalan pada setiap hari Jumaat.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu menerusi perkongsian di laman Telegramnya berkata, hal ini kerana salah satu perkara menarik yang diajarkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran melalui kisah pemuda kahfi adalah doa mereka yang memohon petunjuk.

Dalam doa ini, katanya, mereka menggabungkan dua elemen penting iaitu memohon rahmat dan al-rusyd, iaitu petunjuk dari ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan pemuda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan persiapkan (permudahkan) urusan kami dengan petunjuk." — Surah al-Kahfi: 10

Ahmad Sanusi berkata, perkataan rasyada daripada potongan ayat tersebut membawa maksud hidayah atau petunjuk.

Beliau berkata, pemuda Kahfi yang lari menyelamatkan diri mereka memohon agar ALLAH SWT memberi petunjuk dalam setiap urusan kehidupan mereka.

"Menariknya dalam surah al-Kahfi itu, lafaz yang sama iaitu perkataan al-rusyd ini turut diungkapkan oleh Nabi Musa AS yang memohon Nabi Khidir AS agar mendidiknya supaya boleh mendapat petunjuk.

"Bukan sahaja para nabi, golongan jin juga mengungkapkan perkataan ini apabila mereka menggambarkan bahawa al-Quran memberikan petunjuk kepada manusia," katanya.

Kata golongan jin: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar al-Quran yang menakjubkan. Kitab yang memberi panduan (petunjuk) ke jalan yang betul."Surah al-Jin: 1 hingga 2

Tambah Ahmad Sanusi, ALLAH SWT turut menyifatkan Nabi Ibrahim AS sebagai seorang yang diberi petunjuk menggunakan perkataan sama iaitu al-rusyd (rasyada- rusydahu).

Firman ALLAH SWT: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim petunjuk (sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid) dan Kami mengetahui akan halnya."Surah al-Anbiya: 51 Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram