KELIBAT seorang kanak-kanak yang dilihat tertidur di tepi jalan di laluan lalu lintas sekitar Kota Kinabalu, Sabah mengundang perasaan sebak warga awam.
Menerusi video tular sejak Khamis yang dimuat naik dalam akaun TikTok deylahabib94, si cilik itu dilihat sedang tidur lena dalam cuaca hujan lebat dan difahamkan sedang menanti kehadiran ibunya di lokasi berkenaan.
Pemilik akaun berkenaan yang dikenali sebagai Nur Fadhilah, 28, mendakwa, kanak-kanak perempuan itu dipercayai menunggu ibunya hingga tertidur di kawasan tersebut.
"Saya tanya dia kenapa tidur di situ, dia menjawab sedang menunggu kehadiran ibunya.
"Saya berasa kasihan lalu berikan sedikit duit dengan niat ingin bersedekah.
"Selepas bagi duit, dia tanya saya sama ada mahu buah mangga ataupun tidak, tetapi saya menolak pelawaan budak itu kerana duit diberi terlampau sedikit jika dibandingkan dengan nilai harga buah yang diberikan," katanya kepada Majoriti.
Nur Fadhilah berkata, sebelum itu ketika memandu, dia terlihat seorang wanita disyaki ibu kepada kanak-kanak itu berada di kawasan berhampiran namun tidak sempat mengejar individu tersebut.
Tambah Nur Fadhilah, dia akan pergi semula ke lokasi tersebut dalam masa terdekat bagi memastikan kanak-kanak itu berada dalam keadaan selamat.
"Saya akan pergi semula ke lokasi yang sama untuk mendapatkan kepastian sama ada kanak-kanak itu masih di situ ataupun tidak.
"Orang ramai sudah mula bertanya untuk memberikan bantuan duit dan sebagainya, jadi saya perlu dapatkan kepastian tentang situasi semasa," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram